Diterbitkan pada 26 Mac 2022, 20:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua akan dilaksanakan pada 5 April hingga 19 Mei 2022.

LP memaklumkan bahawa Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua ini dilaksanakan bagi calon yang tidak dapat menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Ujian Amali Sains dan Ujian Bertulis yang telah dilaksanakan pada 8 Februari hingga 29 Mac 2022 yang lalu. Calon tersebut telah disahkan positif COVID-19 sebelum ini. Penangguhan tersebut disebabkan mereka perlu menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selain itu, sesi ini juga ditetapkan khusus kepada calon yang terkesan akibat banjir atau kes-kes khas yang mendapat kelulusan Pengarah Peperiksaan.

LP turut mengingatkan semua calon yang terlibat dengan Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua kelak bahawa mereka perlu menyemak, mengesahkan dan mencetak Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang mengandungi dua maklumat pusat peperiksaan yang ditetapkan, tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan mulai 1 April 2022.

Semua maklumat tersebut boleh didapati melalui pautan https://elp.moe.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih e-Lembaga Peperiksaan yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store. Jadual waktu Peperiksaan SPM Tahun 2021 Sesi Kedua serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung boleh dimuat turun dari portal rasmi LP juga pada 1 April 2022.

Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan yang dicetak ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan KKM.

Ketetapan ini adalah bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi