Diterbitkan pada 14 Mac 2022, 18:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis menyeru agar setiap anggota Rejimen Askar Wataniah haruslah “Latih untuk Perang”.

Bukit Keteri – “Marilah kita bersama-sama mengekalkan reputasi Askar Wataniah dan dalam masa yang sama tetap terus meningkatkan usaha dalam menggandakan pendaftaran Askar Wataniah, khususnya di negeri Perlis ini,” demikianlah titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena perasmian Laman Ikhtiar Hidup R504AW* di Kem Bukit Keteri, Perlis semalam.

Ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian laman tersebut, Raja Muda Perlis turut menyeru setiap anggota Rejimen Askar Wataniah agar merapatkan barisan sebagai benteng pertahanan negara dan memberikan jasa bakti kepada negara supaya angkatan yang unggul ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Keberangkatan tiba baginda yang melaungkan slogan “Latih untuk Perang” itu disambut oleh Panglima Briged ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd. Zaki Abu.

Sementara itu, Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak memaklumkan bahawa sebelum majlis itu, turut dilaksanakan ialah Perbarisan Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2022, Perbarisan Komander, Penyampaian Sijil Op PENAWAR dan juga Penyampaian Sijil Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS).

Idea pembangunan laman tersebut diilhamkan oleh Brigedier Jeneral Mohd Zaki  manakala Pegawai Waran 1, Muhammad Aris Abdullah mengetuai pasukan yang menjayakan kerja-kerja pembinaan dan pelaksanaannya dengan sungguh baik dan menarik sekali.

Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander turut bertitah,

Dalam menghadapi pelbagai cabaran, janganlah jadikan alasan untuk berfikiran negatif. Pemikiran minda perlu ditukar dengan memberikan komitmen 100 peratus dan menganggap hal ini sebagai semangat dalam merealisasikan visi rejimen.

Oleh itu, buatlah persediaan rapi dalam menghadapi sebarang ancaman konflik serantau, polemik politik yang tidak stabil dan ancaman wabak yang tiada penghujungnya.

Mengakhiri ucapan perasmian, Raja Muda Perlis berharap agar warga rejimen dapat menjayakan aktiviti serta memberikan suntikan moral bagi meneruskan tugas dengan penuh jujur dan ikhlas demi negara Malaysia tercinta kerana merekalah benteng pertahanan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi