Diterbitkan pada 9 Mac 2022, 20:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Calon guru interim BI perlu fasih dan mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris bagi memberikan impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan guru interim bahasa Inggeris (BI) yang memenuhi syarat Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta lulus dalam temu duga akan dilantik jawatan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Dalam satu kenyataan KPM hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap mahir, iaitu tahap CEFR C1, bermula tahun ini.

Walau bagaimanapun, bagi calon yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka tetap dipanggil temu duga dalam masa terdekat bagi tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41.

“Mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,” ujar YB Datuk Dr. Radzi seperti yang ditakrifkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.

Jelas beliau, KPM telah menetapkan setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih dalam berbahasa Melayu dan Inggeris pada tahap kecekapan berdikari (independent proficiency) berdasarkan CEFR dalam PPPM 2013–2025.

Susulan daripada itu, KPM akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI dari semasa ke semasa bagi memberikan impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal ini secara langsung dapat meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi