Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pauh Putra – ”Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berbangga dengan semua alumninya, tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada atau bekerja. Teruskanlah lakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan masyarakat, di samping membawa nama baik universiti ini ke persada dunia dan UniMAP akan sentiasa menyokong mereka semua,” titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-7 Istiadat Konvokesyen Ke-15 hari ini.
Seramai 276 orang graduan menerima anugerah daripada Tuanku Raja Muda, yang terdiri daripada pelajar kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) bagi Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Fotonik, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Perhubungan serta Kejuruteraan Rangkaian Komputer masing-masing, bertempat di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Dalam istiadat tersebut, baginda turut mengatakan bahawa alumni adalah permata yang amat penting kepada UniMAP. Suara dan pandangan positif daripada mereka merupakan satu daripada bentuk sokongan kepada reputasi universiti ini. Bahkan, mereka juga boleh bertindak sebagai “orang tengah” antara UniMAP dengan industri, tidak kira sama ada sektor dalam atau luar negara.
Tambah baginda dalam ucap akhirnya, “Penambahbaikan kurikulum pengajian fakulti juga boleh disumbang melalui idea dan kepakaran alumni semua. Kembalilah ke UniMAP dari semasa ke semasa, bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan di universiti ini dan sentiasalah menyayangi universiti kita semua ini, iaitu UniMAP.”