Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hampir keseluruhan murid bagi sesi persekolahan penggal satu 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 tanpa penggiliran, kecuali murid sekolah menengah yang akan hadir memasuki sekolah pada 4 April.
“Hal ini bermakna bermula 21 Mac hingga 4 April, murid sekolah menengah akan melakukan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), selepas tarikh itu, mereka kemudiannya akan menjalani pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran.
Bagi sekolah berasrama penuh, murid tingkatan satu yang berjaya memasuki sekolah berasrama sepenuhnya, pendaftaran murid akan dilaksanakan secara dalam talian. Murid terlibat boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian yang berdekatan kediaman sehingga tarikh kemasukan ke sekolah berasrama diumumkan,” jelas Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menerusi video di laman media sosialnya, Facebook hari ini.
Menurut beliau, KPM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa apabila sekolah dibuka kelak bagi memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baiknya.
Jelasnya, pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah bawah Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan secara kendiri oleh murid di rumah dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga dan mengikut garis panduan yang disediakan oleh KPM.
Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan.
KPM membenarkan murid untuk memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan sekiranya pakaian sedia ada tidak lagi sesuai dipakai.
Mengulas lebih lanjut mengenai pengoperasian sekolah, KPM menetapkan semua murid sekolah rendah harian dan sekolah rendah swasta, termasuklah sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang mempunyai enrolmen keseluruhan kurang daripada 600 murid hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.
Namun begitu, bagi sekolah rendah swasta, termasuklah sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang enrolmen keseluruhan melebihi 600 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran. KPM akan membuat pertimbangan sebelum memberikan kelulusan.
Pelajar yang dinyatakan ini, termasuklah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, tahun satu, tahun dua, tahun enam, serta murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), manakala murid tahun tiga, tahun empat dan tahun lima pula akan hadir secara penggiliran.
Selain itu, pengoperasian Kolej Vokasional (KV) bagi murid Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), serta Institut Pendidikan Guru (IPG) turut dilaksanakan secara bersemuka mengikut takwim pengajian akademik yang ditetapkan.
Sementara itu, KPM juga menyarankan agar ketetapan pengoperasian pendidikan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Namun begitu, mereka perlu memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tujuan perekodan.