Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) menawarkan manfaat penundaan kenderaan secara percuma kepada pelanggan yang melanggan pelan perlindungan motor IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful dan IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful, berikutan banjir yang melanda negara.
“Kami di Takaful IKHLAS sentiasa peka dengan keperluan pelanggan, terutamanya pada waktu kritikal seperti musim banjir. Bermula hujung bulan Januari lalu, Takaful IKHLAS turut menawarkan khidmat tundaan percuma akibat banjir kepada pemegang sijil pelan perlindungan motor, iaitu IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful dan IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful,” kata Dato’ Rudy Rodzila Che Lamin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS.
Jelas Dato’ Rudy, perkhidmatan tundaan ini merupakan manfaat tambahan kepada 24-Hour Bantuan IKHLAS Road Assist, iaitu perkhidmatan sisi jalan yang diberikan secara automatik kepada pemegang sijil tersebut. Bantuan ini menyediakan servis 24 jam tunda kemalangan atau kerosakan, bantuan sisi jalan, serta khidmat penyampaian maklumat kecemasan, perkhidmatan tukang kunci dan bantuan menghubungi kenderaan ganti, seperti teksi atau kereta sewa dengan kadar istimewa.
Bersandarkan prinsip “Kami Melindungi Semua” dan “IKHLAS Cares”, kami tidak mengenakan sebarang sumbangan tambahan kepada peserta Takaful Motor yang mendapatkan servis tundaan kenderaan.
Kami berharap ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka.
Mengakhiri ucapan dalam sidang media pada hari ini, beliau mengatakan Takaful IKHLAS akan terus komited dalam usaha membantu meringankan beban kewangan pelanggan kami yang terkesan akibat banjir.
“Sehingga 20 Februari 2022, sebanyak 3669 kes tuntutan berjaya diselesaikan, yakni jumlah tanggungan tuntutan adalah sebanyak RM30 juta. Hal ini sejajar dengan aspirasi syarikat yang berazam meringankan beban peserta yang ditimpa musibah dan membantu mereka bangkit semula secepat yang mungkin,” ujarnya lagi.
Ketahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan pelan perlindungan motor ini di laman rasmi Takaful IKHLAS.