Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Bukit Keteri – Bersempena dengan Hari Tentera Darat Ke-89, Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan seluruh rakyat untuk bersama-sama mengambil iktibar daripada pergolakan politik antara negara Ukraine dengan Rusia baru-baru ini.
“Antara perkara yang boleh dilihat jika dibuat perbandingan kekuatan ketenteraan sesebuah negara yang sedang diambang konflik adalah dengan membandingkan kekuatan angkatan tetap dengan pasukan simpanannya. Begitu juga jika dilihat kekuatan angkatan simpanan tentera Ukraine dan Russia yang dimobilisasi dilihat tidak setara disebabkan jumlah populasi yang berbeza.”
Kekuatan anggota tentera darat di sesebuah negara tidak akan pernah mencukupi untuk menjaga dan mempertahankan setiap inci tanah air sesebuah negara.”
“Oleh itu, sesebuah angkatan simpanan perlu diperkukuh, diberi latihan serta disiplin secukupnya bagi menampung kekurangan anggota tetap ini.

Titah perutusan dizahirkan baginda bersempena dengan sambutan hari ulang tahun yang ke-89 kepada Rejimen Askar Melayu DiRaja dan yang ke-52 kepada Briged Keenam Infantri Malaysia, yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis.
Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut bertitah,
Rejimen Askar Wataniah yang diwujudkan dalam setiap negeri kita adalah untuk melengkapkan rakyat dengan segala persiapan awal mengenai ilmu serta selok-belok ketenteraan bagi mengimbangi kekuatan anggota tentera tetap dan bersiap siaga menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.
Baginda bertitah bahawa kesejahteraan yang dimiliki oleh seluruh warga tentera adalah penting bagi meningkatkan moral serta semangat dalam melaksanakan tugas menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.
Sementara itu, Timbalan Komander Rejimen, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak menyeru semua anak bangsa yang tidak berpeluang menyertainya sebagai seorang anggota tentera tetap agar menyertai Rejimen Askar Wataniah.
“Tentera tetap dan tentera simpanan adalah sama, iaitu mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh baik dari luar mahupun dalam.”
Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi menasihati mereka yang telah bergelar anggota simpanan Rejimen Askar Wataniah, “Berbanggalah dengan seragam yang anda sarung dan terus mendalami ilmu ketenteraan agar terus kekal aktif dalam Askar Wataniah walau di mana-mana sahaja anda berada”.