Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Walaupun negara masih dibelenggu dengan penularan jangkitan COVID-19 yang masih tiada penghujungnya, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tetap bersemangat hadir ke sekolah untuk menduduki ujian bertulis yang bermula pada hari ini.
Seramai 407 097 calon akan memulakan hari pertama peperiksaan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 pada pukul 8.00 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada pukul 2.00 petang.
Seperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), peperiksaan ini akan dilakukan secara serentak, iaitu sebanyak 3382 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Dalam tinjauan di sekolah, seawal pukul 6.30 pagi calon yang menduduki peperiksaan SPM sudah mula tiba di perkarangan sekolah dalam keadaan pembudayaan kebiasaan baharu seperti memakai pelitup muka, serta dalam pengawasan guru-guru dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Selain berbekalkan alat tulis dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, semua calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Di Selangor, seramai 381 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 daripada 73 938 pelajar di seluruh daerah Selangor menduduki peperiksaan SPM di 503 pusat peperiksaan, manakala terdapat 35 orang pengawas dan petugas peperiksaan yang bertugas.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran merangkap Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Puan Nor Faridah A. Bakar menyatakan bahawa seramai 219 pelajar yang positif COVID-19 setakat ini akan menjalani peperiksaan bagi fasa satu setelah tamat kuarantin pada minggu hadapan.
“Jika mereka kuarantin dalam minggu ini sahaja, minggu hadapan mereka boleh jalani peperiksaan bagi fasa satu.”
Tambah beliau, sebaik-baik sahaja pelajar tamat tempoh kuarantin pada minggu depan, mereka boleh menduduki ujian SPM bagi kertas seterusnya.


Di Kuala Lumpur, seramai 133 pelajar, termasuklah 20 calon persendirian dan dua calon menumpang menduduki peperiksaan dengan 15 petugas di SMK Sentul Utama.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Tuan Haji Md. Fiah Md. Jamin, membuat lawatan di SMK Kompleks KLIA, Negeri Sembilan bagi melihat perjalanan hari pertama peperiksaan dilaksanakan, di samping memberikan sokongan kepada pelajar. Terdapat 16 758 calon SPM mengikut kategori sekolah dan calon persendirian, termasuklah calon Murid Berkeperluan Khas (calon MBK) dan calon hospital di negeri tersebut.
“Sebagai persiapan melaksanakan Peperiksaan SPM 2021, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan telah membuat pelantikan bagi semua petugas peperiksaan SPM 2021 bagi ditempatkan di semua 150 pusat peperiksaan.”
“Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dalam suasana pandemik COVID-19, Negeri Sembilan tidak diuji dengan ujian banjir yang dihadapi oleh negeri Pantai Timur. Namun demikian, kami bersiap sedia sekiranya ada perubahan cuaca dan situasi banjir sekiranya berlaku,” ujar beliau yang turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan perjalanan peperiksaan itu.

Rata-rata pelajar yang hadir pada pagi tadi menunjukkan semangat yang berkobar-kobar untuk mencapai cita-cita, di samping mengharapkan peperiksaan ini berlangsung dengan baik sepanjang tempoh peperiksaan hingga 29 Mac 2022, susulan daripada peperiksaan SPM yang ditangguhkan pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
(Sumber video: SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan oleh Che Hanuni)