Diterbitkan pada 1 Mac 2022, 17:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk pada situasi banjir yang melanda beberapa buah daerah di Kelantan dan Terengganu. Keadaan tersebut memberikan kesan terhadap persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 yang dijadualkan bermula pada 2 Mac hingga 29 Mac 2022.

Lembaga Peperiksaan (LP), KPM sentiasa memantau rapi situasi semasa pusat peperiksaan yang terjejas dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat. Berdasarkan ketetapan sedia ada, pengurusan pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dilaksanakan mengikut ketetapan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil.1/2001.

LP juga menyediakan garis panduan khusus tentang pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan awam yang meliputi aspek pengurusan sekolah dan pusat peperiksaan, calon peperiksaan, petugas peperiksaan serta pengurusan bilik kebal.

KPM sentiasa prihatin dengan kebajikan calon yang terlibat dengan banjir. Oleh hal yang demikian, sekiranya calon peperiksaan SPM 2021 tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan disebabkan bencana banjir, calon terlibat boleh menghubungi guru kelas, Setiausaha Peperiksaan atau Pengetua di sekolah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selain itu, calon yang terkesan juga dibenarkan untuk menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan lain yang boleh diakses sebagai calon menumpang dan perlu dimaklumkan kepada pusat peperiksaan asal.

Bagi calon atau petugas peperiksaan yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan dengan pengurusan menghadapi banjir semasa peperiksaan SPM, mereka boleh menghubungi bilik gerakan LP melalui talian 03-88893520 dan 03-88893601 serta Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi