Diterbitkan pada 1 Mac 2022, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis berkenan merasmikan bilik sensori di Hub Sumber Pendidikan dan A-Heart UniMAP di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Pauh Putra – A-Heart Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima sumbangan berbentuk sebuah “Bilik Sensori” daripada McDonald’s Malaysia melalui Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) untuk kanak-kanak istimewa di negeri Perlis.

Setiap anak lahir dengan kemampuan dan kebolehan yang berbeza-beza, seiring dengan lumrah kejadian yang menyatakan tentang setiap anak yang lahir ke dunia ini mempunyai karakter yang berlainan dengan keunikan masing-masing. Mereka mempunyai keistimewaan tersendiri, termasuklah anak-anak yang mempunyai masalah perkembangan kognitif yang perlahan.

Titah Raja Perlis, Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika merasmikan majlis semalam di Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autism atau Autism Hub for Educational Resources and Training (A-Heart) UniMAP di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Baginda menegaskan bahawa anak-anak istimewa ini tidak seharusnya dipinggirkan dari segi pendedahan kepada pendidikan dan bantuan serta sokongan yang bersesuaian agar mereka mampu untuk berdikari serta berupaya untuk menempa pelbagai kejayaan yang membanggakan pada masa akan datang.

Tambah baginda dalam ucapan awalnya,

Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini boleh mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan ini sebaik-baik yang mungkin demi perkembangan positif minda dan fizikal anak-anak mereka.

Terdahulu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar turut memaklumkan bahawa Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald adalah program tajaan syarikat berkenaan yang dilaksanakan sejak tahun 2004 khusus untuk kanak-kanak istimewa bagi membantu perkembangan mereka dari segi pembelajaran dan keyakinan diri.

Menurut beliau, kini, RMHC telah menyediakan sebanyak 35 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di seluruh negara bernilai RM3.7 juta dan memanfaatkan lebih daripada 7000 orang kanak-kanak istimewa di seluruh Malaysia ini.

RMHC merupakan satu daripada badan yang mempunyai rangkaian bilik terapi sensori terbanyak di Malaysia. Konsep tajaannya bukanlah semata-mata menyediakan kelengkapan bilik terapi sensori sahaja, namun juga menyediakan latihan asas kepada pelatih kanak-kanak istimewa di seluruh negara.

“Dengan tajaan bilik terapi sensori yang serba lengkap tersebut, mereka berharap inisiatif ini dapat memberikan manfaat kepada kanak-kanak istimewa terutamanya daripada keluarga B40 di Perlis bagi meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan diri  mereka di masa hadapan,” ujar Dato’ Azmir dengan hasrat agar inisiatif ini dapat dimanfaatkan oleh banyak pihak.

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengarah Perhubungan Kerajaan, McDonald’s Malaysia Datuk Seri Mohammed Nasir Rakhir. Yang menariknya, Clarence Kang turut tampil untuk membuat persembahan piano yang istimewa kepada tetamu yang hadir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi