Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – “Pemikiran yang bercorak kejantinaan atau seksisme dan stereotaip terhadap kebolehan wanita dalam hak pendidikan harus dikikis. Dunia hari ini menyaksikan wanita berjaya membuktikan tahap kebijaksanaan mereka bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah dalam bidang ekonomi, politik dan pelbagai lagi cabang bidang yang diceburi.”
“Sesungguhnya wanita memiliki hak dalam pendidikan. Peluang pendidikan wajib diberikan kepada semua rakyat agar dapat mengembangkan lagi potensi individu dan turut berpeluang dalam menyumbangkan peranan mereka sebagai rakyat yang produktif dan berakhlak mulia.”
Demikian titah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan perasmian majlis penutupan Webinar “Women in Search of Excellence” (WISE) siri kali keenam yang bertemakan ‘Peranan Wanita dalam Peningkatan Kualiti Pendidikan’ anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGKPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) semalam.

Dalam ucapan majlis penutupan itu, Tuanku Raja Puan Muda yang juga selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah berpandangan bahawa pendidikan merupakan satu wahana penting dalam melahirkan warga negara dinamik dan berkualiti.
Tambah Raja Puan Muda Perlis lagi,
Pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan wanita. Peranan wanita dalam pendidikan tidak boleh dipandang enteng kerana menurut Islam, wanita ialah “sekolah” pertama kepada anaknya. Oleh itu, sesebuah negara yang ingin maju dari pelbagai aspek, perlulah memperkasakan pendidikan terhadap wanita.
Wanita berpendidikan dilihat sebagai satu bahagian yang dapat menyempurnakan usaha terhadap pembangunan negara. Dengan mengambil kira perubahan persekitaran dunia dan keperluan negara untuk turut sama bersaing dalam arus globalisasi ini, pelbagai usaha perlu diambil bagi melengkapkan wanita dengan pendidikan, serta penerapan kemahiran dan pengetahuan tinggi supaya wanita Malaysia dapat memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga mahupun kerjaya.
Yang menariknya, selaras dengan tema majlis, pandangan dan perkongsian tentang sistem pendidikan di 11 buah bandar raya di luar negara seperti Melbourne, Chicago, Copenhagen, New Delhi, Christchurch, Islamabad, Warsaw, Doha, Madrid, Stockholm dan Zurich turut dikupas.