Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Yang Amat Mulia (YAM) Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, iaitu anakanda sulung Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima undangan bagi merasmikan “Mini Konsert Bunga-Bunga Cinta Misha Omar”, bersempena dengan majlis Charity and Fundraising Gala Black Tie Dinner.
Konsert amal yang dianjurkan oleh The H Entertainments Sdn. Bhd. itu diadakan di Grand Ballroom, Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur bertujuan untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, terutamanya mereka yang berada dalam industri seni.
Dalam majlis ini, Misha berkata, “Perjalanan ialah satu keadaan yang akan ada masanya berjalan dengan pantas, tetapi pada masa lain bergerak agak perlahan.”
“Seperti yang kita semua tahu, beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, terutama untuk rakan-rakan kita dalam dunia hiburan, yang tidak dapat bekerja seperti biasa kerana sekatan dan sebagainya.
Tambah beliau, “Saya sangat berharap agar sektor korporat akan datang dapat menyokong dan mengumpulkan dana bagi membantu mereka yang memerlukan.”
Ketibaan YAM Puteri Sharifah Khatreena disambut oleh pihak penganjur, iaitu Pengarah Urusan The H Entertainments Sdn. Bhd., Norazirah Abdul Talip.
Selain Misha Omar, turut tampil membuat persembahan ialah beberapa penghibur undangan daripada alumni Akademi Fantasia, iaitu Gadaffi Ismail Sabri (atau lebih dikenali sebagai Dafi) dan Zarol Zarif.