Diterbitkan pada 14 Februari 2022, 23:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, mengiktiraf media sebagai rakan strategik kerajaan di bawah kepimpinannya. Menurut beliau, peranan pengamal media pada masa ini, khususnya di Melaka dilihat amat penting dan saling memerlukan dalam memperkukuh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka. Hal ini dikatakan demikian kerana media menjadi penyampai berita yang sangat dipercayai dalam membawa maklumat yang tepat kepada rakyat di negeri itu.

YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka kepada Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka yang menerima anugerah utama pada malam Anugerah Media Melaka 2021.
“Media memainkan peranan yang penting dalam memajukan negeri Melaka.” – YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali

“Menyedari akan peranan penting media di negeri ini, pada malam ini saya dan rakan-rakan dalam kepimpinan kerajaan ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama baik yang diberikan oleh seluruh pengamal media di negeri ini. Maka itu, saya berbesar hati mengiktiraf media sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri Melaka,” ucapnya pada majlis Anugerah Media Melaka 2021 yang berlangsung pada malam ini di Hotel LaCrista, Melaka.

Tambah beliau, pengamal media sama ada media cetak, elektronik mahupun media digital turut berperanan penting dalam menyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November 2021. Dalam PRN itu menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemenangan selesa tersebut telah membawa BN membentuk kerajaan baharu dengan majoriti dua per tiga.

“Sumbangan anda banyak membantu menjayakan kemenangan BN dalam PRN yang lalu, khususnya dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada pengundi tatkala kempen pilihan raya terpaksa dihadkan akibat pandemik COVID-19,” ujar YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Selain itu, beliau turut memberikan penekanan terhadap hubungan yang sedia terjalin antara pengamal media dengan Kerajaan Negeri Melaka dan mencadangkan hubungan tersebut terus diperkasakan pada masa akan datang. Sebagai rakan strategik, pihaknya akan sedia menerima kritikan, teguran dan cadangan daripada rakan media untuk terus membangunkan Melaka. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan pengamal media di negeri ini bahawa kritikan atau cadangan tersebut perlu disampaikan menerusi saluran yang betul dan bukannya dengan cara menjatuhkan imej seseorang.

“Melaka amat menghormati kebebasan media, namun perkara yang penting ialah kebebasan tersebut perlu didasari dengan tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat. Paling penting, semua pihak perlu bertanggungjawab dengan apa-apa sahaja kritikan dan penulisan yang dibuat. Jika kita menghormati antara satu dengan lain, maka hubungan ini akan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri Melaka,” ujarnya.

Buku Sulaiman Md Ali dilancarkan pada malam Anugerah Media Melaka 2021.

Dalam majlis berprestij ini, turut dilancarkan buku bertajuk Sulaiman Md Ali yang menceritakan serba ringkas perjalanan Ketua Menteri Melaka ke-12, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, bermula pada 9 Mac 2020, iaitu tarikh rasmi beliau menjadi nakhoda bumi Hang Tuah. Segala memori indah rakaman perjalanan itu diabadikan dalam buku setebal 236 halaman ini.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi