Diterbitkan pada 28 Januari 2022, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – “Kaum wanita diharapkan terus bangkit supaya saling melengkapi dengan kaum lelaki bagi memartabatkan negeri dan negara agar kekal teguh dan perkasa di mata dunia.”

Demikianlah titah saranan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – “Women in Search of Excellence” bertajuk Pemerkasaan Wanita dalam Sektor Kesukanan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama YTF dan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) UiTM pada petang semalam.

Tuanku Raja Puan Muda Perlis selaku Pengerusi YTF turut menzahirkan rasa bangga dengan tahun 2021 yang lalu apabila menyaksikan golongan wanita merupakan tonggak utama dalam pembangunan sukan masa ini.

Sebelum ini, sebanyak 60 peratus atlet wanita (18 daripada 30 orang atlet) telah melayakkan diri dalam penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.

Majlis perasmian pembukaan webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis,  DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penasihat DiRaja Yayasan Tuanku Fauziah.

Antara ahli panel yang diundang bagi menjayakan webinar bulanan YTF edisi kelima pada kali ini ialah Bekas Jaguh Heptathlon Negara, Datuk Zaiton Othman; Bekas Ratu Trek Negara, Datuk Marina Chin; dan Bekas Penembak Paralimpik Malaysia, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.

Dalam majlis penutupan ini turut diundang atlet negara yang terdiri daripada Juni Karimah Noor Jamali (Perahu Layar), Nur Suryani Mohamed Taini (Menembak) dan Anis Amira Rosidi yang berasal dari Perlis (Keirin Berbasikal).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi