Diterbitkan pada 31 Disember 2021, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk kenyataan media bertarikh 24 Disember 2021 lalu berkaitan dengan Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022. Sehubungan dengan itu, KPM memaklumkan bahawa operasi institusi pendidikan bawah KPM di seluruh negara bagi Penggal 3, 2021/2022 bagi Sekolah Rendah Murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta semua murid bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

Bagi murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula, murid perlu hadir secara penggiliran. Semua ketetapan ini terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM. Sekolah Menengah MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran. Murid kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut di institusi berkenaan telah mencapai 90 peratus atau lebih.

Operasi institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih kekal secara penggiliran. KPM akan mengeluarkan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu. Mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi pada hari Ahad atau Isnin pada minggu berikutnya tanpa penggiliran. Sementara itu, bagi murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula, kehadiran mereka adalah secara penggiliran. Semua ketetapan ini terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah menengah KPM.

Sekolah Enrolmen Kurang 300 Murid KPM juga telah menetapkan bahawa sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 orang murid beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran. Bagi sekolah ekspatriat dengan enrolmen melebihi 300 orang murid pula, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya. KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan.

Sekolah Berasrama Sepenuhnya Murid Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran. Murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru, bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia memerlukan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari 2022. Bagi pembukaan kolej matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula pada 9 Januari 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester. Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari 2022, mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa.

Hanya pelajar KM dan IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej/kampus, selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi. Pelajar juga dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai. Selain itu, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. Ibu bapa atau penjaga yang berhasrat untuk berbuat demikian perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.

Institusi Pendidikan Terlibat Banjir KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terkesan dengan banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi yang terlibat akan dimaklumkan pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi. KPM juga menyarankan agar ketetapan pengoperasian pendidikan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM. Pada masa yang sama, KPM berikrar untuk sentiasa komited dan melakukan yang terbaik kepada seluruh pelajar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi