Diterbitkan pada 3 November 2022, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Wanita pada hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang merangkumi pendidikan, sosial, politik dan ekonomi. Tanggapan segelintir masyarakat yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan haruslah diperbetul.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas berkenan menyempurnakan sesi menandatangani surat ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, ahli panel, moderator dan ahli jawatankuasa utama atas pelibatan dan komitmen dalam menjayakan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-14: “Wanita dalam Pembangunan Negara” yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama YTF secara hibrid pada 20 Oktober 2022.

Perumpamaan bahawa tangan wanita yang membuai buaian boleh menggegarkan dunia menggambarkan betapa besarnya peranan kaum wanita dalam pembangunan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sumbangan wanita mampu membangunkan sebuah negara.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selaku Pengerusi YTF dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Penasihat DiRaja YTF amat bersukacita atas kerjasama serta komitmen yang tidak terhingga diberikan khususnya oleh warga kerja DBP sendiri dalam menjayakan penganjuran program seminar sehari suntuk tersebut.

Selain menyalurkan idea dari segi pendidikan, keagamaan, budaya dan ekonomi, wanita turut terlibat dalam kegiatan sosial.

Tuanku Raja Puan Muda turut menarik perhatian terhadap pelibatan wanita membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Melalui pertubuhan tersebut, mereka boleh menyalurkan idea dan cadangan sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi.

Selain itu, melalui persatuan juga mereka boleh membantu membangunkan negeri dan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi