Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – “Transformasi dan evolusi dalam sistem pendidikan masa ini sangat pantas dan bergerak seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.”
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pendidikan merupakan penentu hala tuju pembangunan sesebuah negara pada masa ini dan akan datang untuk maju atau sebaliknya.
Titah baginda tersebut disampaikan sempena program “SnappEd Chuping Valley Accelerator Educational Programme 2022” yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan pihak SnappEd dari 31 Oktober hingga 4 November 2022 di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Kangar pada hari ini.
Penganjuran program dilaksanakan buat julung-julung kalinya seumpama ini di Perlis amat relevan dan menyokong Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
Dalam perutusan program tersebut, melalui TS25, Tuanku Raja Muda Perlis berharap agar sekolah berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan, serta pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran selari dengan hasrat dalam pelan pembangunan pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.
Program SnappEd mampu memberikan peluang dalam inovasi kepada pendidik di Perlis dalam semua peringkat baik di sekolah rendah mahupun menengah demi memastikan kualiti pendidikan di Perlis selaras dengan moto Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju.
Tuanku Raja Muda yakin program ini bertepatan dengan matlamat ke arah kemenjadian murid yang dapat dicapai melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Menurut baginda lagi, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi ini akan sentiasa bermotivasi mencari penyelesaian dan kaedah pengajaran, serta pembelajaran dengan mencipta amalan baharu yang sesuai dengan keperluan murid demi memastikan mereka bersedia dalam menghadapi dunia realiti yang semakin mencabar.