Diterbitkan pada 25 Oktober 2022, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pelibatan anak jati Perlis dalam KLFW dapat memberikan ruang untuk menjadikan Perlis sebagai “destinasi baharu industri tekstil pilihan”.

Kuala Lumpur – Sebanyak 26 rekaan jenama Khatreena diperagakan pada majlis makan malam A Night Ready to Wear Fashionable Luxury KL Fashion Week (KLFW) yang berlangsung di Element Hotel Kuala Lumpur.

Pakaian jenama Khatreena itu merupakan hasil rekaan Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang juga merupakan puteri sulung kepada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis.

AmBank (M) Berhad dengan kerjasama KLFW menyerahkan sumbangan bernilai RM50 000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, semalam.

Raja Muda Perlis berkenan berangkat menghadiri majlis persembahan cek contoh yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusan Retail Banking AmBank (M) Berhad dan Pengasas KLFW.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis berkenan berangkat menghadiri majlis persembahan cek contoh yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusan Retail Banking AmBank (M) Berhad Aaron Loo dan Pengasas KLFW, Andrew Tan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berangkat sama-sama dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Aaron Loo, pihak AmBank telah melaksanakan inisiatif bersama kempen jualan amal dengan kerjasama Finn Anuar (@perempuanmelawanart). Artis komik tempatan berkenaan telah mereka cipta dua rekaan kemeja-T “#iAmMalaysia” untuk AmBank yang menyerlahkan lagi gambaran kehidupan seharian masyarakat di Malaysia.

Ujar beliau, sejumlah RM50 000 daripada hasil jualan baju tersebut telah dikhaskan untuk menyokong Pusat Autism di bawah YTSP Perlis yang akan memberikan sokongan kepada inisiatif di bawah Genius Kurnia, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam perkembangan yang sama, satu hasrat untuk menjadikan Perlis sebagai “destinasi baharu industri tekstil pilihan” melalui usaha pemerkasaan kemahiran golongan asnaf dan B40 sedang dalam pertimbangan untuk dilaksanakan oleh pihak KLFW dengan kerjasama pihak MAIPs dan YTSP Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi