Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bagi melaksanakan lawatan tinjauan ke beberapa buah lokasi terjejas banjir di negeri Perlis, petang semalam.
Baginda selaku Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan bertanya khabar mangsa di samping meninjau lebih dekat kejadian yang berlaku.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Hj Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.
Salah seorang mangsa, Noor Lela Aziz, 53, yang tinggal di Guar Sanji melahirkan rasa syukur apabila permasalahan beliau mendapat perhatian MAIPs.

Lebih mengejutkan beliau, Tuanku Raja Muda sendiri turut berkenan mencemar duli bagi melaksanakan lawatan tinjauan ke kediaman beliau yang runtuh di bahagian belakang ekoran daripada banjir kilat dan cuaca tidak menentu di Perlis pada malam sebelumnya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Nazim memaklumkan bahawa pihak MAIPs sentiasa memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa serta melihat keperluan untuk mempertimbangkan bantuan di bawah Skim Agihan Bantuan Bencana bagi membantu meringankan beban mangsa.

Terdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Bilangan ke-71 bagi tahun 2022 dengan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah di tiga buah rumah keluarga asnaf terpilih, iaitu Hamzah Umar, 82, dari Kampung Sungai Berembang; Shareom Kasim, 61, dari Kampung Kurong Tengar dan Johari L Dahaman, 78, dari Jalan Sungai Berembang.
Sehari sebelumnya, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa meninjau kawasan Titi Chai dan Kampung Sentua di Utan Aji yang telah dilanda banjir kilat.