Diterbitkan pada 11 Oktober 2022, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pauh Putera – “Sehingga pukul 4.00 petang semalam, sebanyak 1231 orang telah pun mendaftar daripada 1921 orang mahasiswa baharu yang ditawarkan tempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sebanyak 675 lagi merupakan pelajar dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) yang akan mengikuti pengajian secara dalam talian untuk Semester 1 ini. Pengambilan pelajar kali kedua dijadualkan akan dilaksanakan pada 30 Oktober 2022 bagi mengisi kira-kira 1000 tempat lagi.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Simbolik Penerimaan Mahasiswa Baharu Sidang Akademik 2022/2023 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alamnya di Pauh Putera, malam semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.

Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berkenan berangkat menyempurnakan majlis.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke program yang dianjurkan oleh pihak universiti melalui Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pembantu Pelajar Minggu Suaikenal (PPMS) itu disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta kepimpinan tertinggi universiti.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda mahukan mahasiswa peringkat ijazah supaya sentiasa bersedia bagi melengkapkan diri sepanjang tempoh berada di universiti selama tiga atau empat tahun untuk mendalami ilmu dalam pelbagai bidang, membudayakan inovasi dan kreativiti, bersikap proaktif serta menghindar daripada melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak elok. Titah baginda:

Tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa merupakan amanah yang perlu ditunaikan. Mahasiswa yang berfikiran matang, berjiwa kental dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab seterusnya menjadi pemimpin pelapis negara pada masa akan datang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan tahniah kepada semua pelajar baharu kerana berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Sudah tentu, kejayaan menempatkan diri ke menara gading merupakan sesuatu yang membanggakan dan pastinya menjadi harapan keluarga masing-masing.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda mengingatkan para mahasiswa baharu UniMAP bahawa keberangkatan baginda berdua sebagai Canselor dan Pro-Canselor pada setiap kali pendaftaran baharu mahasiswa ke universiti ini sejak sekian lamanya itu merupakan “simbolik” penerimaan warga baharu dalam “Keluarga UniMAP” sebelum diserahkan kembali kepada ibu bapa dan waris pada Istiadat Konvokesyen kelak.

Upacara Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu.

Selain program kemuncak berupa Upacara Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu dengan Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor berkenan menyarungkan jaket kepada empat orang wakil pelajar terpilih, turut diadakan ialah pertunjukan Hadrah oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, tayangan multimedia khas serta persembahan tarian dan nyanyian hasil gabungan mantap oleh mahasiswa lama dan baharu Universiti Awam yang ke-17 di negara ini yang telah diwujudkan sejak tahun 2001.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi