Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh Mohd Fazrin Azli bin Jaimat
Ranau – Demi memartabatkan bahasa kebangsaan dan kesusasteraan Melayu sekali gus menyebarkan ilmu dalam kalangan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) telah mengadakan satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat di seluruh Sabah, iaitu Program Wakaf Buku.
Program Wakaf Buku lazimnya dilaksanakan di sekolah, institusi pengajian tinggi, Perpustakaan Desa dan kampung yang terpilih. Bersempena dengan Festival Seni dan Alam yang diadakan di Kundasang, Sabah, DBPCS mengambil peluang untuk mengadakan wakaf buku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua, Ranau, pada 4 Oktober 2022, pukul 2.30 petang.
“Membaca jambatan ilmu. Lantaran itu, DBPCS berusaha menyebarkan ilmu dalam kalangan masyarakat khususnya para pelajar,” demikian ucapan Pengarah DBPCS, Puan Aminah Awang Basar, semasa upacara penyerahan buku kepada Pengetua SMK Timbua, iaitu Encik Marcus Shapie.

Turut hadir bersama-sama Pengarah DBPCS ialah Timbalan Pengarah I, DBPCS, Encik Rusdi Awang. Sebanyak 150 orang pelajar SMK Timbua, Ranau hadir bersama-sama menyaksikan penyerahan buku tersebut.