Diterbitkan pada 3 Oktober 2022, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur-Bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2022,  Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),  YBrs. Hajah Zanariah Haji Ahmad telah dijemput untuk bersiaran secara langsung dari konti KL FM melalui saluran 97.2fm dan laman web klfm.rtm.gov.my dan berkongsi mengenai sambutan tersebut.

Berkongsi secara ringkas mengenai latar belakang sambutan DBK Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2022 yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” pada tahun ini, beliau berkata sambutan ini merupakan acara kemuncak kepada aktiviti kebahasaan di KPM dan disambut pada setiap tahun. Untuk tahun 2022, program ini akan disambut dengan meriahnya pada 6 Oktober 2022 kelak.  Antara acara kemuncak yang ditunggu-tunggu ialah penganugerahan kepada Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan dan Tokoh Bahasa Melayu kategori Teknikal dan Vokasional KPM yang buat julung kali diperkenalkan pada tahun ini.

Menyentuh mengenai objektif sambutan ini, YBrs. Hajah Zanariah turut berkongsi beberapa objektif program ini, antaranya termasuklah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menaik taraf pelaksanaan DBK supaya setaraf dengan Bulan Inovasi Kebangsaan, menobatkan tokoh bahasa Melayu untuk sektor pendidikan dan tokoh bahasa Melayu bagi kategori teknikal dan vokasional. Program ini juga bertujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat bahawa warga KPM juga sentiasa bergerak ke arah memartabatkan bahasa Melayu terutamanya dalam usaha untuk menghasilkan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu.

Mengambil konsep peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”, Pengarah BPLTV itu juga turut menjelaskan beberapa lagi inisiatif KPM dalam memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat tertinggi. Antara inisiatif tersebut termasuklah sentiasa menjadikan agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rujukan utama dalam memastikan kelancaran program di agensi KPM dapat diatur dengan baiknya. KPM juga mengambil langkah untuk menyemarakkan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan khususnya dalam sektor pendidikan dengan kerjasama KPM, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), dan Institut Terjemahan dan Bahasa Malaysia (ITBM).  Pelbagai aktiviti seperti bengkel penulisan dokumen rasmi, bengkel memperkasakan tulisan Jawi, sayembara lagu puisi, pertandingan melafazkan pantun dan seminar memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada warga KPM sendiri.

Beliau turut mengulas lebih lanjut berkenaan penganugerahan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan dan Tokoh Bahasa Melayu kategori Teknikal dan Vokasional KPM. Ujar beliau, penganugerahan itu telah diwujudkan semenjak tahun 2020 sebagai menghargai usaha dan sumbangan warga KPM dalam memartabatkan bahasa Melayu. KPM telah menerima 31 penyertaan daripada bahagian-bahagian dan 11 penyertaan bagi kategori teknikal dan vokasional. Penyertaan yang sangat memberangsangkan ini memberi petanda yang sangat baik kerana menunjukkan kecenderungan warga KPM dalam memartabatkan bahasa Melayu.

YBrs. Hajah Zanariah turut menyatakan hasrat dan perancangan KPM untuk tahun hadapan.

KPM sebagai kementerian yang sentiasa menyokong aktiviti pengayaan bahasa dan budaya akan terus bersikap positif dan memberikan galakan serta bantuan sebaiknya kepada semua pihak yang menganjurkan kepelbagaian program yang dapat memberikan impak yang mendalam terhadap kepentingan dan peranan bahasa dalam pendidikan jangka panjang.

Tambah beliau, KPM juga akan memastikan sebarang usaha untuk menerapkan konsep dan budaya bahasa yang terbaik akan diletakkan sebagai keutamaan dalam menampilkan jati diri bangsa. Antara lain, kerjasama yang berkaitan dengan program kebahasaan ini dengan agensi kerajaan mahupun swasta akan terus dipergiat dan akan merentas semua institusi di bawah KPM, bahkan akan mempergiat penglibatan dan penyertaan daripada warga KPM sendiri.

Sebelum mengakhiri segmen tersebut, Pengarah BPLTV dengan mengambil semangat “Keluarga Malaysia” menyeru masyarakat agar teguh bersama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri,YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi