Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa pada 23 September 2022.
YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, 59 tahun merupakan KPPM yang ke-19. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) pengkhususan dalam bidang Geografi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Beliau telah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1 Ogos 1989 sebagai guru di Sekolah Menengah King George V, Seremban, Negeri Sembilan. Dalam tempoh 33 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai organisasi dalam KPM.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuklah Penolong Pengarah Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan, Pengetua di SMK Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Ketua Sektor Jaminan Kualiti,Timbalan Pengarah serta Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum).
Dengan pelantikan ini, KPM yakin bahawa YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali dapat menerajui perkhidmatan pendidikan serta meneruskan kesinambungan dalam usaha memacu transformasi pendidikan dan meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi demi masa depan generasi pewaris negara. KPM juga sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik dalam aspek pendididkan negara.
Selaku agensi yang bernaung di bawah KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengalu-alukan pelantikan ini dan yakin YBhg. Dato’ Haji Pkharudin Haji Ghazali dapat menlaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai lapangan pendidikan sebelum ini.