Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Berhubung dengan isu beg berat yang berlarutan sekian lama, Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan Majlis Libat Urus Bersama-sama Editor Kanan Agensi Media bagi memperincikan beberapa pendekatan dalam usaha menangani isu tersebut secara tuntas.
Pada petang tadi, bertempat di Bayu Longue, Kelab Tasik Putrajaya, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa pemasangan lokar akan diberikan tumpuan pada sekolah rendah yang mempunyai dua sesi persekolahan.

Bagi fasa pertama, pemasangan lokar akan dilaksanakan pada sekolah yang mempunyai dua sesi melibatkan murid Tahap 1, iaitu Tahun 1 dan Tahun 2.”
“Proses pemasangan lokar terbabit bakal dimulakan pada hujung bulan ini. Menjelang bulan Oktober, KPM akan memastikan semua perolehan dan keperluan tersebut sampai dan dipasang ke sekolah.
Menurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, sebanyak 10 662 lokar yang disediakan pada fasa pertama yang membabitkan 323186 murid ini merupakan satu daripada langkah untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi oleh kanak-kanak. Berdasarkan penelitian ke atas maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya tahun 1, 2 dan 3.
Walau bagaimanapun, proses pemasangan lokar akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu melibatkan murid tahun 4, 5 dan 6 pada fasa kedua. Pelaksanaan ini dijangka bermula pada awal tahun 2023.
Terdahulu, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut memaklumkan isu berkaitan dengan penyusunan semula jadual waktu mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai, terutamanya aspek pemberatan mata pelajaran dan ketersediaan guru.
Sekolah diberikan kelonggaran untuk melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari. Kita menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek tidak melebihi dua buah buku pada satu-satu masa.
Mengulas lebih lanjut, beliau memaklumkan dalam sidang media selepas tamatnya majlis tersebut, KPM telah mengambil pendekatan dengan menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital.
“Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA).”
“Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka,” ujar Menteri Kanan Pendidikan itu dalam menangani isu beg berat, selain meningkatkan keberkesanan persekitaran bilik darjah yang lebih signifikan, sesuai dengan konsep Sekolahku SEJAHTERA.