Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChuping – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengambil bahagian dalam “Program Kayuhan Berbasikal Keluarga Malaysia, Teguh Bersama MAIPs Peduli” sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis yang bermula dan berakhir di Felda Chuping, Perlis baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perlis sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Negeri Perlis.


Mengiringi baginda ke program yang diurussetiakan oleh Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Belia) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Zainah Shariff, ketua-ketua jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.
Upacara pelepasan disempurnakan oleh anakanda-anakanda baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sempena program yang disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli bilangan ke-60 bagi tahun 2022, Tuanku Raja Muda berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Yop Kassim, 72 tahun dari Kampung Kok Klang; Yusof Ibrahim, 51 tahun dari Kampung Padang Lengkuas dan Ismail Mat Hassan, 84 tahun dari Blok 9, Felda Chuping. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang.

Baginda turut berkenan mencemar duli bagi menyaksikan pertandingan tarik tali di Padang Felda, permainan tradisional guli dan congkak, pertandingan menghias tuala yang dianjurkan sempena program tersebut serta meninjau Shah Stable, iaitu sebuah kandang kuda.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos ini, Tuanku Raja Muda menitahkan supaya rakyat bersama-sama menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan dan memelihara kedaulatan negara ini untuk diwariskan kepada anak cucu kita dalam keadaan yang sebaik mungkin kelak.