Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Kedudukan geografi, persamaan bahasa dan budaya, kos yang berpatutan dan kedudukan taraf universiti yang tinggi menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan bagi pelajar Indonesia.
Menurut Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto, secara puratanya, jumlah pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia hanya satu pertiga berbanding dengan jumlah pelajar Indonesia yang belajar di Malaysia. Dari tahun 2015 hingga tahun 2021, jumlah pelajar Indonesia yang belajar di Malaysia adalah lebih daripada 9680 orang. Sementara itu, hanya kira-kira 3575 pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia.
Dalam majlis perasmian International Summit on Knowledge Advancements (ISKA) 2022, Bambang Suharto memaklumkan bahawa kerjasama antara Indonesia dengan Malaysia dalam bidang pendidikan memiliki cakupan yang sangat luas, yakni mulai dari peringkat individu, institusi hinggalah ke peringkat kerajaan.
Antaranya termasuklah kerjasama antara individu dengan institusi pendidikan tinggi, pertukaran mahasiswa apparenticeship ke Malaysia, pertukaran mahasiswa vokasional, pelatih guru dan juga pertukaran mahasiswa belajar di Malaysia.

Seminar selama dua hari ini melibatkan penyertaan sebanyak 150 rektor dan kepimpinan Muhammadiyah dan Aisyah dari seluruh Indonesia yang diketuai oleh Ketua Umum Pimpinan Pusatnya, Profesor Dr. KH. Haedar Nashir dan isterinya, Puan Noordjanah yang bertandang ke negeri Perlis.
“ISKA 2022 sangat bermanfaat kerana merupakan platform bagi para ahli akademik, pelaku industri untuk berkongsi ilmu dan gagasan, memperluas jaringan, dan menyampaikan penemuan hasil penelitiannya dan menjejaki berbagai potensi lain yang bermanfaat bagi masa depan yang lebih baik.”
Bambang Suharto turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Universiti Muhammadiyah Malaysia yang akan beroperasi di Perlis tidak lama lagi dan berharap agar seminar ini memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat, khususnya pelajar universiti.
Majlis anjuran Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kangar, semalam.