Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Filem merupakan wadah penterjemahan suatu gagasan yang dibawa oleh pengkarya yang menjadi cerminan bagi identiti sesebuah bangsa dan negara.
Sebagai kesannya, penggunaan bahasa atau lontaran dialog dalam sesebuah filem akan menterjemahkan budaya dan imej negara yang disegani.
Pada petang ini, bertempat di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengadakan kunjungan hormat bagi memperkukuh hubungan sinergi dalam usaha mempertahankan filem kebangsaan dalam bahasa Melayu.
Menurut Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja terletak pada bahu DBP, bahkan semua pihak termasuklah penggiat industri perfileman negara.

Tambahnya lagi, sebagai pusat khazanah ilmu, DBP sememangnya kaya dengan pelbagai terbitan buku, novel dan majalah yang boleh diadaptasikan dalam filem mengikut kesesuaian penerbit.
Sejak tahun 1956 hingga sekarang, DBP banyak menerbitkan pelbagai novel yang sesuai untuk diadaptasikan sebagai filem.
“Alhamdulillah, antara buku yang diadaptasi dan disiarkan dalam televisyen melalui drama dan filem, termasuklah Ayahanda, Korban Kasih, Pekan Kecil Kampung Terpencil dan Srengenge. Ternyata karya ini mendapatkan sambutan yang menggalakkan, malah memenangi tiga anugerah, iaitu telefilem terbaik, pengarah telefilem terbaik dan penulis telefilem skrip terbaik.
Ujar YBhg. Datuk Abang Sallehuddin lagi,
Penggiat seni wajar menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam setiap karya mereka kerana bahasa kebangsaan tidak sesekali menggugat prestasi dan kualiti cerita, malah diiktiraf untuk pasaran antarabangsa dengan nilai budaya dan bahasanya yang tersendiri.
Oleh itu, DBP sangat mengalu-alukan penerbit filem dan drama untuk memanfaatkan karya terbitan DBP untuk diadaptasikan sebagai filem.
Sementara itu, Presiden FDAM, YBrs. Dr. Ahmad Ibrahim turut memandang serius terhadap penyelewengan bahasa seperti bahasa rojak, bahasa campuran dan bahasa asing yang digunakan tanpa memikirkan kesannya.

Maka itu, sebagai pengarah FDAM, beliau bertanggungjawab untuk menggerakkan platform pembudayaan bahasa dalam perfileman tempatan.
Tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk mencadangkan agar diadakan Seminar Nasional: Bahasa dalam Filem, selain kerjasama yang akan diperincikan dalam memorandum persefahaman yang bakal dimaterai kelak.”
“Seminar itu perlu melibatkan semua stesen televisyen dan penggiat seni tempatan untuk menjayakan agenda memartabatkan bahasa Melayu, serta memastikan keberkesanan filem dalam mempengaruhi budaya sesebuah masyarakat.
Pada masa yang sama, beliau juga meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa permuafakatan antara DBP, FDAM dengan stesen televisyen mampu merealisasikan pembudayaan bahasa Melayu yang betul dalam industri perfileman untuk dimanfaatkan oleh masyarakat, selain meningkatkan pasaran produk (filem dan drama) tempatan.
Yang turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ahmad Hashim, Ketua Biro Kesejahteraan Sosial FDAM; Haji Mohamad Zaini Hassan, Ketua Sekretariat FDAM; Mohamad Letfee Ahmad, Ketua Biro Komunikasi dan Media FDAM; serta para pegawai kanan DBP.