Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya – Melihat akan kekangan sistem pendidikan negara akibat pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga memastikan langkah transformasi modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus dipertingkat secara holistik.
Pendidikan digital merupakan antara tumpuan utama KPM dalam memacu perubahan landskap pendidikan negara ke arah melahirkan pelajar yang fasih digital, kreatif, inovatif dan berdaya saing tanpa mengetepikan pemerkasaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) seperti capaian Internet, rangkaian dan peralatan TMK serta pembekalan peranti.

Apabila sektor pendidikan dibuka, KPM mendapati bahawa antara cabaran yang dihadapi oleh sekolah berkaitan dengan perkakasan TMK ialah model komputer yang lama, kerosakan dan tiada penggantian dilakukan, serta makmal masih belum mendapat pembekalan perkakasan TMK.
“KPM telah mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan kaedah perolehan dari pembelian kepada sewaan perkakasan TMK secara sewa guna, iaitu “Lease to Use” selama lima tahun, termasuklah waranti dan penyelenggaraan.
“Antara peralatan yang dibekalkan dan diganti, termasuklah komputer riba, pencetak, projektor dan port pengecasan,” kata YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1), hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berkata:
Sebanyak 500 bilik darjah di 110 buah sekolah di seluruh negara akan diubah menjadi kelas hibrid di bawah projek perintis oleh Kementerian Pendidikan mulai bulan depan.
“Selain menaik taraf infrastruktur digital dan TMK, kementerian juga akan mempertingkat rangkaian kawasan luas reka bentuk perisian (SD-WAN) dan rangkaian kawasan setempat (LAN).
Langkah itu juga katanya, disasar untuk mewujudkan suasana di dalam kelas yang menyeronokkan, selain membolehkan guru berinovasi dalam pedagogi teknologi digital.
Mengulas hasil transformasi pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa penggantian pembekalan perkakasan TMK dilaksanakan secara tiga fasa bermula dari tahun 2022 hingga 2024, seperti yang berikut:
Sementara itu, dalam majlis pelancaran pada pagi tadi, YB Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa KPM telah memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion untuk menaik taraf semua infrastruktur digital dan TMK di beberapa institut pendidikan yang terpilih, iaitu merangkumi Sekolah Menengah, Sekolah Menengah (Pendidikan Khas), Sekolah Genius, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Seni, Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Agama (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan), Kolej Vokasional dan Kolej Matrikulasi.
Dengan adanya kelas hibrid, sekolah berupaya mengatur pengajian silang dengan sekolah lain bukan sahaja di dalam, tetapi di luar negara untuk mengukuhkan lagi penyampaian PdP sedia ada.
Demikian ujar beliau yang berhasrat agar pelajar dan guru lebih bersikap terbuka dalam mencapai kandungan pembelajaran yang bermanfaat, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Turut hadir bersama-sama YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT ialah YBhg. Datuk Yusran Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPM dan YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) KPM.