Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Selayang – Jumlah Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01, iaitu 2.79 berbanding dengan tahun 2020, iaitu jumlah PNGK yang dicatatkan adalah sebanyak 2.78.
Menurut YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2020 kerana perbezaan peningkatannya hanya sebanyak 0.01 mata.
Tambah beliau, sebanyak 874 calon (2.14 peratus) telah mendapat PNGK 4.00 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 66.82 peratus calon terdiri daripada golongan B40. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 874 calon yang berjaya memperoleh nilai PNGK sebanyak 4.00. Kejayaan calon STPM 2021 daripada golongan B40 turut mencatatkan kejayaan apabila sebanyak 21 orang calon daripada 36 calon yang berjaya memperoleh lima 5A.
“Pencapaian calon STPM daripada golongan B40 yang memperoleh 4A dalam STPM 2021 turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 15.59 peratus, iaitu 116 calon berbanding dengan tahun sebelumnya,” ujar Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan ketika Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021 pada pagi tadi.
Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya didapati bahawa peratusan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus) dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding dengan tahun 2020.
Pencapaian tersebut telah menunjukkan bahawa jumlah calon STPM 2021 yang dapat memasuki universiti awam pada tahun ini akan turut meningkat.
Ketika sidang media tersebut, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut berkata bahawa tiada perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar berdasarkan perbandingan PNGK keseluruhan sejak dari tahun 2013, iaitu memperoleh PNGK 2.79. Antara faktor yang menyumbang kepada keputusan tersebut ialah tempoh masa yang lama diberikan oleh calon untuk menduduki peperiksaan dan sekali gus dapat memberikan peluang untuk calon lebih bersedia.
Mengulas dengan lebih lanjut, Encik Adnan Husin, Ketua Eksekutif MPM mengatakan bahawa pada tahun 2021, MPM telah menyusun semula tarikh peperiksaan selepas tempoh 20 minggu pembelajaran, dan calon meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian, berbanding dengan tahun 2020, iaitu calon hanya mempunyai 20 minggu pembelajaran secara bersemuka dan secara dalam talian.
Mengakhiri sidang media pada pagi tadi, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut menyatakan bahawa tempoh pengemaskinian UPUOnline Program Pengajian Lepasan STPM dan setaraf adalah mulai 22 Ogos 2022 hingga 26 Ogos 2022 dan calon boleh melihat dan mengemas kini keputusan peperiksaan dalam tempoh tersebut. Pengemaskinian pilihan program pengajian boleh dilakukan oleh semua lepasan STPM dan setaraf, kecuali bagi pelajar yang telah dipanggil untuk menduduki peperiksaan atau menghadiri temu duga.
