Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Jasa pahlawan yang mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan negara harus sentiasa dikenang oleh masyarakat, khususnya generasi muda pada masa ini.
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan masyarakat agar mengenang jasa pahlawan negara dan mendoakan mereka yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Pengorbanan mereka jelas membuktikan jati diri dan semangat mereka demi kesejahteraan generasi terkemudian walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa dan harta benda.
Demikianlah titah DYTM Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan Amal Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2022 Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-53 bagi tahun 2022 yang dilaksanakan secara serentak di sekitar Kangar, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata,
Hari Pahlawan yang disambut pada setiap tahun pada 31 Julai adalah untuk mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis, sama ada sebelum dan selepas Malaysia merdeka.
Sempena program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan singgah menyantuni asnaf terpilih terdiri daripada Wasia Mastika di Kampung Behor Gandil yang mempunyai masalah kesihatan kesan kemalangan motorsikal, Yusof Nordin di Kampung Guar Syed Alwi yang tinggal bersama enam orang ahli keluarganya dan Idris Bulat juga tinggal di Kampung Guar Syed Alwi dan mempunyai masalah kesihatan.

Pada penghujung program yang diadakan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Kontinjen Polis DiRaja Malaysia Perlis, satu majlis perpisahan kepada Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak yang akan bertukar setelah empat tahun mencurahkan bakti di negeri ini dengan cenderahati disampaikan kepada beliau daripada pihak MAIPs dan PDRM Perlis.
Sepanjang tempoh di Perlis, Mohamad Zaidi yang amat berminat dalam bidang sukan telah mengemudi rejimen berkenaan untuk berjaya menganjurkan R504 AW Run, memperbaiki padang bola dalam kem, mewujudkan gelanggang woodball K3 Hill, mengilhamkan sebuah Laman Ikhtiar Hidup, menyiapkan Litar Larian Pagar, menubuhkan Kelab Motorsikal R504AW, di samping melaksanakan acara menembak JAKPAW Perlis secara berkala.