Diterbitkan pada 31 Julai 2022, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – “Peristiwa hijrah merupakan titik permulaan kepada asas kekuatan Islam dan umatnya. Maka itu, penghayatan kepada hijrah perlu disuburkan dalam kalangan umat Islam.”

“Kepentingan umat Islam untuk membina keazaman antara pengajaran daripada peristiwa hijrah ini, selain memberikan gambaran kepada pemisahan antara hak dengan batil yang perlu dihayati oleh umat.”

Titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena menyambut Maal Hijrah baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis akan disempurnakan oleh Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada pagi Khamis, 4 Ogos 2022 bersamaan 6 Muharram 1444 Hijrah.

Dalam perkembangan lain, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi perkahwinan Tengku Muhammad Faris Tengku Mohd Ismail dengan pasangannya, Nur Hafizah @ Fiza Thomas di Glamhall Damansara, Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor.

Tengku Muhammad Faris merupakan antara penggiat seni yang aktif dalam bidang seni dan hiburan. Beliau juga terlibat dalam pembikinan video muzik sebagai pengarah fotografi. Antara hasil kerjanya termasuklah pembikinan video muzik Wani Kayrie, Khodi dan banyak lagi.

Manakala, Nur Hafizah pula merupakan seorang penyanyi dan pelakon berasal dari Sandakan, Sabah dengan kerjayanya bermula sebagai salah seorang peserta Akademi Fantasia pada tahun 2016. Beliau juga lebih dikenali menerusi watak sebagai Soraya dalam iklan #RendangSoRaya terbitan PETRONAS bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada tahun 2019.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi