Diterbitkan pada 29 Julai 2022, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Hakikatnya menyedari, sektor kepolisan adalah lebih sinonim dan didominasi oleh kaum lelaki. Namun begitu, hal ini tidak menghalang kaum wanita untuk menceburi kerjaya dalam sektor kepolisan.

Titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri ke-11 dengan tajuknya, “Lady Boss In The Police Force?”.

Dalam titah pembukaan Webinar YTF semalam, baginda menzahirkan rasa bangga apabila melihat semakin ramai kaum hawa memperagakan tekad, iltizam dan sifat keberanian bagi memecah norma menyertai bidang kepolisan.

Ketika berkenan mengucapkan tahniah kepada wanita hebat yang telah menyertai sektor kepolisan ini, baginda bertitah,

Semestinya perjalanan ini jauh, berliku dan tidak mudah untuk dicapai. Terlalu banyak cabaran dan halangan yang harus ditempuhi dan ditangani dalam menggalas tugas sebagai srikandi negara.

Bersesuaian dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”, program anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama YTF ini dikatakan demikian dapat mewujudkan kesejahteraan masyarakat, seterusnya mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.

DYTM Raja Muda Perlis yang merangkap Penasihat DiRaja YTF menambah bahawa polisi kerja dan kehidupan yang seimbang akan membolehkan kaum wanita berkerjaya memberi tumpuan dalam bekerja tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dalam waktu yang sama.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri ke-11 secara dalam talian.

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Polis Negeri Perlis, DCP Dato’ Surina Saad, manakala majlis penutupan pula disempurnakan pada sebelah tengah hari oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pengerusi YTF.

Mengulas lebih lanjut, ahli panel Webinar YTF pada kali ini ialah DCP Dato’ Nerita Yaacob, DCP Dato’ Sasikala Devi A/P Subramaniam, DCP Normah Ishak, ACP Siti Kamsiah Hassan dan moderatornya ialah Inspektor Zaitul Najihah Abd. Patah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi