Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pulau Pinang – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pasukan produksi, Acahart Studio muncul Juara Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2022 anjuran kali pertama oleh Sekretariat Protege USM.
Pengarah FFAM 2022, Saudara Abdullah Nudin menganggap penganjuran edisi sulung ini menunjukkan bukti bahawa bidang perfileman masih lagi relevan dalam kalangan anak muda sepertinya kerana minat dan bakat yang ada wajar diraikan dengan sebaik-sebaiknya. Beliau juga menzahirkan rasa terharu dan penghargaan tidak terhingga kepada rakan kerjasama, penaja, peserta serta semua pihak yang membantu menjayakan FFAM pada kali ini.
Dalam program tersebut, USM telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan dan sekali gus memenangi kesemua lima kategori anugerah yang dipertandingkan, iaitu Anugerah Sinematografi Terbaik, Anugerah Skrip Terbaik, Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Pelakon Terbaik dan Anugerah Suntingan Terbaik, manakala naib juara diraih oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan tempat ketiga ialah UiTM Puncak Perdana.
Program gilang-gemilang anjuran bersama Dewan Budaya USM, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPA) USM, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Canon Malaysia sebagai Rakan Pengimejan Rasmi itu disambut meriah selama dua hari di Auditorium Dewan Budaya, USM, Pulau Pinang.

Program ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 18 pasukan produksi daripada sembilan buah institusi pengajian tinggi (IPT) bertanding dalam menyerlahkan kreativiti mereka berdasarkan tema “Inspirasiku”.
Antara IPT yang bertanding ialah Multimedia Universiti Malaysia (MMU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM), UiTM Kampus Puncak Perdana dan Kampus Shah Alam, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan wakil daripada tuan rumah, iaitu USM.
FFAM 2022 turut dihadiri oleh juri-juri daripada barisan pengarah dan penerbit terkenal tanah air seperti Ghaz Abu Bakar, Indra Che Muda dan Dato’ Jurey Latiff Rosli sebagai ketua juri.

Hari pertama dimeriahkan dengan beberapa acara seperti Majlis Perasmian dan Hari Tayangan FFAM 2022 yang menyaksikan acara gimik perasmian, persembahan oleh mahasiswa atau USM bertemakan lagu latar filem terkenal tanah air, tiga sesi tayangan 18 filem pendek penyertaan, sesi diskusi bersama pengarah filem pendek penyertaan, serta juri-juri dan juga jualan cenderahati FFAM 2022. Hari kedua dimeriahkan dengan acara Sesi Karpet Merah dan Malam Anugerah yang dihoskan oleh penyanyi dan pelakon terkenal Malaysia, Arja Lee yang merupakan bekas pelajar Sarjana Muda Seni Persembahan.

FFAM 2022 kali ini diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat, iaitu Puan Ramnah Ramli, Pengarah Dewan Budaya USM, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa da Pustaka Malaysia, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Encik Hazlan Abdu Hamid, Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT USM, Encik Hunter Zhang, Pengarah Jabatan Perniagaan Komunikasi Pengimejan (ICB) Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., serta Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim, Penasihat Sekretariat Protege USM.
Bertemakan “Inspirasiku”, FFAM 2022 kali ini disambut meriah dengan kehadiran penonton dalam kalangan mahasiswa USM dan juga orang awam setempat Pulau Pinang.