Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Anugerah DUTA 2021 (Digital Utilisation and Technology Awards) Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kuala Lumpur, petang ini. Majlis yang diadakan secara tahunan ini dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap ekosistem pendidikan negara, khususnya pendidikan digital agar seiring dengan perkembangan pendidikan global.
Pelbagai skop pendigitalan telah ditambah baik dalam konteks pendidikan. Sebagai contoh, pendigitalan dalam konteks pemarkahan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malayais (SPM) 2020 telah dilaksanakan secara dalam talian dan diteruskan pada tahun berikutnya.

“Kita tahu dunia bergerak ke arah pendigitalan yang lebih cepat, lebih laju, maka dunia juga bersaing atas platform teknologi,” ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.
Beliau juga menyatakan bahawa pendigitalan juga memberikan banyak ruang dalam penambahbaikan pedagogi pendidikan dan juga konteks penggunaan sumber yang boleh digunakan di pelbagai peringkat di KPM. Ketidakcekapan dalam proses sedia ada akan dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknologi yang lebih kukuh. Tambah beliau:
Pendigitalan bukan lagi pilihan. Pendigitalan ini merupakan satu keperluan, di mana kita perlu melihat apakah pendekatan yang paling baik bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan, bukan sahaja inovasi dalam pedagogi pendidikan dapat ditambah baik, pada masa yang sama penggunaan sumber di sekolah dan institusi KPM juga dapat ditambah baik.
Dalam melahirkan murid fasih digital, Datuk Dr. Radzi Jidin mengharapkan inovasi dalam pedagogi terus dipertingkatkan dan diperluas bagi mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dan berpusatkan murid serta bersesuaian dengan keadaan semasa.
Memberikan respons kepada keluhan guru tentang sistem pentaksiran yang dianggap sebagai tambahan beban tugas, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata bahawa KPM akan mewujudkan satu platform khusus bagi memastikan pentaksiran dan pelaporan dapat dilaksanakan sekali sahaja dan boleh diakses oleh pelbagai pihak. Perbincangan dengan pentadbiran sekolah juga telah dilaksanakan bagi mengambil kira sistem penjadualan yang lebih menyeluruh dan akan ditingkatkan melalui satu aplikasi yang akan dibangunkan. Kecekapan penggunaan utiliti juga akan lebih mudah diurus melalui satu sistem, iaitu bil utiliti di sekolah akan dipantau dari satu platform bagi memastikan kecekapan penggunaan sumber dapat ditingkatkan.
Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah. Beliau turut menegaskan bahawa anugerah yang diperoleh tidak bermakna sekiranya inovasi tersebut tidak dikongsikan bersama, bukan sahaja dalam konteks pelaksaanan proses kerja, tapi juga dari konteks pendidikan.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Encik Shaiful Hasnan Abd Hamid berkata bahawa anugerah DUTA bertujuan untuk memberikan pengiktirafan tertinggi kepada kesungguhan dan komitmen murid, guru, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menjayakan inisiatif pendidikan digital yang bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berinovasi dalam bidang berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Anugerah DUTA juga memperkukuh konsep Sekolahku SEJAHTERA yang bermatlamat melahirkan generasi muda pewaris negara yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia.
Sebanyak 41 hadiah untuk anugerah telah disampaikan dalam majlis ini merangkumi kluster Anugerah Pusat Sumber Sekolah, Anugerah Pendidikan Digital, Ikon Guru dan Ikon Murid. Para pemenang menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil peringkat kebangsaan. Dalam suatu majlis berasingan pada sebelah pagi, sebanyak 61 hadiah telah disampaikan merangkumi Anugerah Nilam Kebangsaan, Pertandingan Bicara Buku Kebangsaan, Pengkarya Muda dan TV PSS.
Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum (SDK) mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Mantan Pengarah BSTP, Puan Maznah Abu Bakar.