Diterbitkan pada 16 Jun 2022, 13:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 bagi negeri Selangor, memperlihatkan calon yang layak mendapat sijil telah meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding dengan tahun 2020. Sebanyak 55 626 calon SPM 2021 lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dengan peratusan sebanyak 85.60 peratus.

Puan Rohayati Abd. Hamed semasa mengumumkan keputusan SPM negeri Selangor.

Dalam sidang media hari ini, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Puan Rohayati Abd. Hamed memaklumkan bahawa gred purata negeri (GPN) dalam peperiksaan SPM 2021 bagi Selangor ialah 4.87 mata berbanding dengan 4.90 bagi SPM Tahun 2020. Gred purata negeri pada tahun 2021 telah menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya yang mengalami penurunan GPN sebanyak 0.03 mata.

Selain itu, Puan Rohayati menjelaskan, peratusan calon yang memperoleh gred cemerlang (A+, A dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM Tahun 2021 adalah sebanyak 1803 orang calon, iaitu 2.77 peratus berbanding dengan 2.59 peratus bagi tahun sebelumnya. Tambah beliau, sebanyak 53 orang calon sekolah di bawah KPM telah berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi dengan keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang telah diduduki. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM 2021 atas keputusan cemerlang yang telah dicapai oleh mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi