Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid mengumumkan bahawa sebanyak 55.29 peratus daripada keseluruhan 407 097 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran. Beliau turut mengumumkan sebanyak 9696 orang calon SPM tahun 2021 memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.
Beliau menyatakan bahawa gred purata nasional (GPN), iaitu indeks yang digunakan untuk menilai pencapaian calon SPM 2021 di seluruh negara mencatatkan 4.86 mata. Hal ini bermaksud, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa sebanyak 336 630 calon layak menerima sijil, iaitu 88.09 peratus daripada 407 097 calon yang mendaftar dalam peperiksaan SPM tahun 2021.
Pelaporan analisis prestasi mata pelajaran dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu 27 mata pelajaran baharu, 48 mata pelajaran sedia ada yang menggunakan format baharu dan 20 mata pelajaran dengan format sedia ada. Mata pelajaran Seni Halus 2D, Tarian, Apresiasi Tari menunjukkan prestasi tertinggi bagi kategori mata pelajaran baharu. Mata pelajaran Bahasa Kadazan Dusun menunjukkan prestasi tertinggi bagi kategori mata pelajaran sedia ada dengan format baharu, manakala mata pelajaran Turath Dirasat Islamiah menunjukkan prestasi tertinggi bagi kategori mata pelajaran sedia ada dengan format yang sama.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia turut melibatkan pakar pentaksiran luar negara untuk meningkatkan kualiti SPM pada peringkat antarabangsa. Pakar pentaksiran luar yang terlibat dalam SPM tahun 2021 ialah Cambridge Assessment English (CAE), Cambridge Assessment International Education (CAIE) dan Pearson.
Beliau turut memaklumkan bahawa calon boleh mendapatkan keputusan SPM di sekolah masing-masing bermula pada pukul 10:00 pagi, manakala bagi calon persendirian, slip keputusan akan dihantar melalui pos pada tarikh yang sama. Selain menyemak di sekolah masing-masing, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh memilih dua kaedah lain untuk mendapatkan keputusan. Keputusan SPM juga boleh diperoleh secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my bermula pada pukul 10:00 pagi hari ini hingga pukul 6:00 petang, 24 Jun.
Selain itu, calon juga boleh mendapatkan rumusan keputusan berkenaan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM No KP Angka Giliran dan dihantar ke nombor 15888. Sistem ini diaktifkan bermula pada pukul 10:00 pagi hari ini hingga jam 6:00 petang pada 22 Jun 2022.