Diterbitkan pada 8 Jun 2022, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur-Aureo Gallery menyumbangkan sebanyak RM270 000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk tujuan membantu menjayakan projek pembangunan Pusat Autisme Negeri Perlis (A-Heart).

Pengasasnya, Serena Cham mempersembahkan cek kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam upacara yang diadakan di galeri berkenaan di Vertical Business Suites, Bangsar South, Kuala Lumpur semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Penaung Diraja A-Heart. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Puan Sri Dato’ Akmal Abdul Salam dan YBhg. Dato’ Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin.

Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa status terkini projek A-Heart yang hendak dibangunkan oleh YTSP Perlis bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tersebut kini dalam peringkat rundingan bagi penubuhan secara kolaborasi bersama-sama Bahagian Genius Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada masa ini, beberapa cadangan dan peranan antara pihak-pihak berkepentingan sedang dalam penelitian.

Sementara itu, Serena memaklumkan bahawa Aureo Gallery yang diasaskan pada tahun 2017 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur mewakili artis terkenal yang hebat di seluruh dunia dan mempamerkan karya mereka pada peringkat antarabangsa. Hasrat mereka termasuklah untuk mengembangkan bakat ke Singapura, Jakarta dan Dubai dalam masa terdekat ini.  Aureo Gallery bekerjasama secara langsung dengan artis dan rakan kongsi untuk mempromosikan dan membangunkan era baharu untuk industri seni.

Bagi YBhg. Puan Sri Dato’ Akmal pula, beliau berpandangan bahawa Aureo Gallery akan memberikan tumpuan dengan menyokong artis-artis solo untuk mempamerkan karya seni mereka kepada dunia dengan membantu mereka mencapai pengiktirafan bertaraf dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi