Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Keteri – Sebanyak lima orang pegawai Rejimen Askar Wataniah mendapat penganugerahan Tauliah Kehormat atas limpah kurnia dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah baru-baru ini.

Pelantikan ini dilakukan berdasarkan Seksyen 198 (5) Akta Angkatan Tentera 1972. Dalam penganugerahan Tauliah Kehormat berkenaan, penerima anugerah akan dilantik sebagai Pegawai (Kehormat) dalam Rejimen Askar Wataniah selaku Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Malaysia, Negeri Perlis berkuatkuasa mulai 7 April 2022 bagi tempoh dua tahun pelantikan.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Surat Ucapan Tahniah kepada lima orang Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah Malaysia di Kem Bukit Keteri, Perlis pada hari ini.
Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Komander rejimen tersebut bertitah,
Dengan penganugerahan ini, mereka perlu memikul tanggungjawab untuk membantu dalam segala program pembangunan dan pengembangan Rejimen 504 Askar Wataniah di negeri Perlis. Mereka tidak berada dalam rangkaian pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia, namun boleh berhubung secara rasmi melalui Pengerusi JAKPAW Malaysia Negeri Perlis mengenai apa-apa jua urusan berkaitan dengan pembangunan Angkatan Sukarela Persekutuan dalam negeri ini.
Antara lima penerima bagi anugerah Tauliah Kehormat ini, ialah YB Leftenan Kolonel (Kehormat) Haji Zepri Saad, Pegawai Kewangan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi JAKPAW Negeri Perlis yang baharu; Mejar (Kehormat) Naharudeen Othman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri; Mejar (Kehormat) Ismasuhaimi Shariff, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri; Mejar (Kehormat) Ag Shaffie Ag Ahmadni, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri; dan Mejar (Kehormat) Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Hadir sama di majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi JAKPAW Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Panglima Briged ke Enam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Timbalan Komander Rejimen tersebut, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Sementara itu, Mohamad Zaidi berkata, “Penularan COVID-19 masih terasa, namun kita perlu beradaptasi dengan wabak ini dan meneruskan kebiasaan baharu seperti yang digariskan oleh pihak bertanggungjawab.”
Sinergi antara Rejimen dengan pihak JAKPAW dan agensi awam serta swasta dalam negeri Perlis khususnya harus diteruskan dengan pelbagai alternatif bagi mencapai misi rejimen dalam merekrut, melatih dan mengekalkan keaktifan anggota sukarela negeri Perlis.
Amatlah rugi tenaga kerja belia yang merupakan amanah dan tulang belakang negeri dan negara tercinta ini jika dibiarkan dan diabaikan tanpa perhatian dan sokongan.
Mengulas lebih lanjut, Rejimen 504 Askar Wataniah kini berada dalam rangka persiapan bagi acara berprestij tinggi, iaitu Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 33/22 yang bakal mengumpulkan semua Komander dari seluruh negara dalam membincangkan hala tuju Askar Wataniah.