Diterbitkan pada 26 Mei 2022, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – “Jangan ada sikap bertangguh atau ‘nanti dulu’, kerana perkara ini akan mengubah persepsi pelajar dalam melihat sesuatu perkara, secara tidak langsung merosakkan fokus dan sasaran untuk menjadi pelajar yang terbaik,” titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.

Menurut baginda, mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) bakal menjadi seorang dewasa dan perlu didedahkan kepada perkara baharu yang memerlukan komitmen dan tanggungjawab agar dapat menggunakan nilai tambah tersebut dalam mengharungi kehidupan masa depan.

Baginda turut menyarakan agar pelajar sentiasa menjaga tingkah laku apabila berinteraksi dengan guru atau pensyarah sekiranya mempunyai masalah atau persoalan yang tidak jelas.

Pada masa yang sama, baginda bertitah, “Tidak semua yang dilihat itu indah dan cantik. Oleh itu, pelajar harus memahami dan mengambil tahu risiko dan implikasi daripada setiap keputusan yang diambil kerana itulah ‘kunci’ untuk menjadi seorang insan yang berjaya kelak.”

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan agihan zakat kepada golongan asnaf di sekitar Kampung Ujung Bukit dan Kampung Nesam.

Program agihan zakat MAIPs tersebut melalui program kayuhan “MAIPs Peduli” telah diadakan di sekitar Kampung Ujung Bukit dan Kampung Nesam kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Jukhairi Abidin, Abu Seman Suberi Ibrahim dan Azizis Kassim.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan merasmikan projek pembangunan sosioekonomi MAIPs berupa perniagaan kedai makan yang diusahakan oleh Nor Sharizan Shaaban yang merupakan peserta dalam program Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) MARA/MAIPs sebelum ini.

Beliau telah menerima bantuan untuk membeli peralatan kedai bernilai RM8300 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). Perasmian simbolik tersebut diadakan di Taman Buah-buahan Eksotik, Jabatan Pertanian Negeri di Sungai Batu Pahat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi