Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin bersama-sama delegasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membawa konsep Sekolahku SEJAHTERA dalam Forum Pendidikan Dunia 2022 (EWF 2022) yang berlangsung di London, United Kingdom semalam.

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin, pendekatan konsep Sekolahku SEJAHTERA secara keseluruhannya telah disambut baik oleh panel dan delegasi semasa pembentangannya dalam sesi “Ministerial Exchange”, yang membincangkan topik bertajuk, Should social and emotional learning (SEL) come first?.
Dalam pembentangan berkenaan, saya menjelaskan bahawa kita tidak seharusnya memberi keutamaan hanya kepada aspek atau komponen tertentu dalam pendidikan anak-anak.
“Perkara yang paling penting adalah untuk mencari pendekatan seimbang dalam semua aspek pembelajaran, termasuklah SEL,” ujar beliau dalam hantaran di Facebooknya pada petang tadi.
Mengulas lebih lanjut dalam forum berkenaan, beliau yakin dan percaya bahawa penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA secara semula jadi mampu melahirkan generasi pewaris negara yang hebat.
Datuk Dr. Radzi Jidin turut menjelaskan bahawa SEL merupakan antara komponen yang diambil kira oleh KPM dalam membangunkan konsep Sekolahku SEJAHTERA.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, delegasi melihat konsep itu sebagai satu pendekatan yang menyeluruh dalam membentuk kemenjadian murid.