Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sidang ke-13 sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu diteruskan dengan menyentuh peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan melibatkan empat orang pembentang di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pemakalah bagi sidang ke-13 terdiri daripada tiga orang pembentang tempatan, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Dato Seri Dr. M. Mustafa Ishak, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Jamil Maah dan YBrs. Encik Sakri Abdullah, berserta dengan seorang pembentang antarabangsa dari Uzbekistan, iaitu Puan Munisa Mukhtarova yang dilaksanakan secara maya.

YBhg. Profesor Emeritus Dato Seri Dr. M. Mustafa Ishak mencadangkan supaya pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) harus kembali mengorak langkah untuk mewajibkan semua pelajar antarabangsa mengambil Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Bukan Warganegara (SKBMW) sebagai satu daripada usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan lebih proaktif.
“Apabila mereka (pelajar antarabangsa) diwajibkan untuk mengambil SKBMW ini, sudah pasti mereka akan belajar bahasa Melayu, sekali gus mampu mewujudkan kemahiran dan kompetensi berbahasa Melayu dengan baik,” jelas YBhg. Profesor Emeritus Dato Seri Dr. M. Mustafa Ishak sebagai pembentang pertama dalam sidang sebentar tadi.

Pembentang kedua, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Jamil Maah pula amat bersetuju berkenaan dengan peri pentingnya peranan IPT dalam memartabatkan bahasa Melayu berdasarkan pengalaman beliau yang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya ketika YM Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku) menjadi Naib Canselor.
Menurut beliau, Pak Ungku ialah perintis yang mula merancang dengan rapi supaya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Universiti Malaya bermula dengan Fakulti Sains Sosial, diikuti dengan Fakulti Sains.
“Ketika itu, kerjasama antara DBP dengan IPT juga memainkan peranan yang amat penting apabila diwujudkan jawatankuasa istilah yang banyak mengumpulkan terminologi sains yang terjana dalam bahasa Melayu. Hasilnya, pensyarah dan pelajar semakin fasih menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran sains dan matematik,” tambah beliau lagi.

Dalam pembentangan ketiga pula, Encik Sakri yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyatakan kepentingan ITBM dalam bidang penterjemahan dalam pendidikan bermula dari peringkat asas, iaitu sekolah rendah.
“Keyakinan saya, sekiranya bahasa Melayu tidak diangkat dari peringkat tunjang, iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah, saya pasti pelajar akan menghadapi masalah apabila berada di peringkat pengajian tinggi kelak,” jelas beliau dalam pembentangannya.
Beliau juga menjelaskan bahawa usaha terjemahan termasuk dalam kaedah yang penting, iaitu dengan memperbanyak buku rujukan dalam pelbagai bidang. Antara kaedah yang dapat digunakan termasuklah pemindahan ilmu pengetahuan melalui terjemahan, iaitu dengan menterjemah buku antarabangsa yang terbaik pada peringkat dunia ke dalam bahasa Melayu.
Pembentangan terakhir disempurnakan oleh Puan Munisa Mukhtarova, iaitu guru bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Selatan dan Asia Selatan Tashkent Azerbaijan. Mengulas dengan lebih lanjut berkenaan dengan perkembangan bahasa Melayu di Uzbekistan, Puan Munisa menjelaskan bahasa Melayu telah diajar sebagai bahasa asas dan tambahan di institusi pendidikan Uzbekistan sejak hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Uzbekistan yang bermula pada tahun 1993 lagi.
“Pada mulanya, pelajar yang mempelajari bahasa Melayu adalah sekitar 20 hingga 30 orang sahaja, namun sekarang, jumlah pelajar di seluruh Uzbekistan yang mempelajari bahasa Melayu telah meningkat kepada lebih 300 orang.
“Di Uzbekistan, pelajar bukan sahaja mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan kedua, malah turut mempelajari tentang sastera dan kebudayaan Malaysia,” ulas beliau lagi.
Semasa mengakhiri pembentangan sidang 13, beliau berharap agar beliau berpeluang hadir ke Malaysia dalam program yang akan datang dan dapat bertutur dalam bahasa kegemarannya, iaitu bahasa Melayu secara langsung.