Diterbitkan pada 24 Mei 2022, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa perlu dilihat melalui landasan konsep ekonomi permintaan dan penawaran. Penawaran pengajian Melayu tidak boleh berlandaskan keadaan sedia ada yang menawarkan kursi-kursi pengajian tanpa sebarang perubahan atau strategik yang membawa kepada permintaan pengajian Melayu yang datang dari luar. Perkara ini disentuh oleh Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul yang mencadangkan strategik penawaran pengajian Melayu perlu berubah berdasarkan teori permintaan dan penawaran. Bagi beliau, penawaran sedia ada boleh diteruskan, tetapi kita perlu memikirkan kaedah yang membawa kepada permintaan pengajian Melayu itu sendiri.

Menurut beliau, status bahasa Melayu sebagai lingua franca pada zaman dahulu bukanlah disebabkan oleh pemerintah kerajaan Melayu yang menawarkan pengajaran atau pengajian bahasa Melayu, sebaliknya keadaan tersebut berlaku disebabkan wujudnya permintaan bahasa Melayu kerana kerajaan Melayu pada ketika itu menguasai pasaran rempah ratus yang merupakan bahan mentah yang diperlukan oleh orang luar. Oleh sebab itu, pihak luar pada masa itu berusaha untuk mempelajari bahasa Melayu. “Berbanding dengan pada masa ini, kita tidak boleh lagi bernostalgia tentang kehebatan bahasa Melayu pada masa dahulu. Sebaliknya, kita perlu memikirkan perkara yang mendatangkan permintaan terhadap pengajian Melayu,” jelas beliau dalam “Sidang 12: Pengajian Melayu Antarabangsa” yang berlangsung sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini. Dalam hal ini, beliau mencadangkan keperluan untuk mewujudkan korpus ilmu (sastera, sosiobudaya dan diversiti) yang menggunakan bahasa Melayu sebagai satu daripada pelan strategik. Korpus ilmu ini jelas beliau, perlulah unik dan yang belum lagi dipelopori oleh pihak lain.

Prof. Dr. Arndt Graf dari Jerman yang turut diundang sebagai ahli panel pula membawa teori hubungan antarabangsa, iaitu konsep “tradingstate” (negara yang berasaskan perdagangan) untuk menjelaskan hubungan pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa dengan ekonomi. Menurut beliau, hal ini akan menimbulkan minat terhadap pengajian Melayu apabila sesebuah negara mempunyai hubungan ekonomi dengan rantau tersebut. Beliau menyebut Jerman sebagai sebuah negara berasaskan perdagangan yang sememangnya memfokuskan negara-negara di Asia Tenggara berdasarkan pertimbangan ekonomi. Hal ini dapat dilihat dengan jumlah pengajian Asia Tenggara yang ditawarkan oleh Jerman di 22 buah universiti dan lima buah pusat penyelidikan di negara itu. Hubungan ini dicerminkan melalui hubungan ekonomi antara Jerman dengan Asia Tenggara. Dalam hal ini, Jerman merupakan negara utama Eropah yang mengeksport barangan ke Asia Tenggara.

Beliau menjelaskan dari perspektif ekonomi, bahasa Melayu merupakan bahasa utama di Asia Tenggara kerana penggunaan bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia dan Brunei dianggarkan sekitar 47 peratus, iaitu melebihi penggunaan bahasa lain, bahkan melebihi bahasa Inggeris yang digunakan di Singapura dan di Filipina. “Sebagai contoh, eksport Malaysia pada hari ini mencerminkan sebagai sebuah negara industri yang menarik untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan teknologi,” jelas beliau. Tambah beliau, dalam konteks pengajian Melayu, kita juga seharusnya melihatnya dalam konteks politik, sejarah dan budaya Melayu.

Dalam sidang tersebut juga, Dr. Azhar Ibrahim dari Singapura turut menyatakan pandangannya bahawa pengantarabangsaan pengajian Melayu perlu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dan pengantar ilmu yang kukuh serta tidak hanya berlegar sebagai bahasa untuk komunikasi dan pengekalan identiti sahaja. Perkara ini akan mengakibatkan bahasa Melayu menjadi “bahasa kedaerahan” dalam istilah Gramsci. Menurut beliau, “Kita seharusnya membangunkan ilmu mandiri (autonomous knowledge) sebagaimana yang pernah digagaskan oleh Syed Hussein Alatas, untuk membangunkan ilmu dengan mahir dan anjal, iaitu menggabungkan idea luaran dan dalaman, namun tidak terikat oleh hegemoni ilmu seperti eurosentrisme dan orientalisme.”

Tambah beliau, usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa tidak boleh bersikap ekabahasa yang terperangkap dalam bahasa Melayu semata-mata. “Perancangan ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu mestilah bermaksud perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan membangunkan ilmu mandiri mengikut dua sisi, iaitu pertama, menyanggah ilmu dominan khasnya dari Euro-Amerika untuk mendapat pemahaman yang lebih baik. Kedua, mengemukakan perspektif setempat, bukan sahaja untuk berdepan dengan konteks dan keperluan setempat, malah juga menyumbang kepada ilmu pada peringkat global,” jelas beliau.

Dalam sidang yang sama, Profesor Emeritus Dato’ Paduka Dr. Hashim Musa pula mengulas tentang ilmu pengetahuan yang perlu disampaikan dalam bahasa kebangsaan penduduknya, bahasa Melayu untuk Malaysia, Indonesia dan Brunei,  kecekapan pembelajaran, pembinaan daya tenaga rakyat jelata, pemupukan jati diri dan perpaduan negara bangsa. Perkara inilah yang berlaku kepada negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Republik China, yang telah menggunakan bahasa kebangsaan atau tempatan mereka sendiri untuk menyampaikan segala ilmu pengetahuan kepada rakyat dan membangunkan sumber daya tenaga manusia. “Penggunaan bahasa penjajah akan selama-lamanya melahirkan mentaliti ‘budak jajahan’ yang berkiblat kepada tuan penjajahnya dari segi nilai, ekonomi, gaya hidup, seni rekreasi dan jati diri,” tegas beliau.

Sebagai kesimpulannya, tulang belakang bagi pembangunan sumber daya tenaga manusia buat seluruh rakyat jelata di sesebuah negara ialah bahasa kebangsaan. Bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei, mereka perlu menekankan penggunaaan bahasa Melayu bukannya bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, program pengajaran bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, China dan Korea yang cekap perlu dijalankan demi pemerolehan dan penimbaan ilmu pengetahuan, teknologi, perdagangan dan diplomasi antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi