Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai rakan kerjasama yang bermula sejak 21 Mei lalu dan akan berakhir pada hari ini diteruskan dengan sesi Ucap Utama Ketiga yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Dalam sesi ucap utama tersebut, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP mengulangi pendirian beliau dengan menegaskan bahawa pengembangan bahasa Melayu di rantau ini sudah berada pada tahap supranasional dan semua pihak perlu bergerak serentak agar bahasa Melayu bukan sahaja mampu berdiri gah di rantau ini, malah mampu mara ke pentas antarabangsa. “Bahasa Melayu sememangnya sudah mencapai tahap supranasional dan tidak ada ‘hijab’ yang mampu menghalang kemaraannya kerana bahasa Melayu tidak terbatas dengan faktor geopolitik,” tegas beliau pada awal ucapannya.
Pengerusi Lembaga DBP yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) itu turut mengingatkan bahawa dengan kedudukan bahasa Melayu yang sudah bertaraf lingua franca sejak dahulu lagi, maka tidak mustahil bahasa Melayu mampu merentas etnik di rantau ini. “Acheh yang terkenal sebagai pusat ketamadunan terbesar tetap mengangkat bahasa Melayu ke tahap tertinggi,” jelas beliau. Tambah beliau, tidak ada pembahagian bahasa Melayu mengikut etnik. Dalam ucapannya itu, beliau turut mengulas tentang keupayaan istilah Bahasa Melayu-Indonesia sebelum ini walaupun dianggap sebagai strategi kecil tetapi amat bermakna sebagai usaha awal proses pengantarabangsaan bahasa Melayu. Hal tersebut diperkukuh melalui peranan majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) selama ini.
Sesi Ucap Utama Ketiga ini turut menyentuh peristiwa kedatangan Islam ke alam Melayu yang juga dianggap sebagai proses pengantarabangsaan bahasa Melayu itu sendiri. “Sesungguhnya kedatangan Islam ke alam Melayu itu merupakan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu yang turut terkait dengan kehidupan kita,” ulas YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi. Bagi beliau, Kitab Taj Us-Salatin merupakan kitab ketatanegaraan yang telah mengalami proses penterjemahan ke dalam bahasa Melayu selain kitab Undang-undang 99 Perak dan warkah-warkah Melayu lama. Hal ini menunjukkan bahawa proses pengantarabangsaan bahasa Melayu telah bermula sejak abad ketujuh, iaitu semasa zaman kerajaan Melayu Sriwijaya lagi.

Dalam sesi tersebut, secara ringkasnya beliau berkongsi empat (4) strategi utama untuk melonjakkan bahasa Melayu ke pentas antarabangsa, iaitu:
Strategi 1 : Pembentukan Bahasa Melayu Supranasional
Strategi 2 : Pemerkayaan Khazanah Ilmu dan Sastera Berbahasa Melayu
Strategi 3 : Kerjasama dalam Penyelidikan.
Strategi 4 : Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Melalui Badan Penyelaras
Dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit itu turut diselitkan pelbagai nasihat, pandangan dan cadangan agar usaha yang dilakukan sepanjang simposium ini mendapat manfaat pada masa akan datang. YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mencadangkan supaya judul-judul tesis kajian bahasa Melayu yang sudah lama tersimpan di rak-rak institusi pengajian tinggi dapat diterbitkan dengan segera. “Bahan kajian sudah ada, tetapi terperap begitu lama di atas rak. Sebagai permulaannya, usaha ini perlu diteruskan sehingga kajian penting itu diterbitkan. Hasil daripada simposium ini diharapkan dapat mengangkat kajian yang sudah lama terperap agar dapat diterbitkan,” cadang beliau.
Beliau turut menyentuh tentang beberapa projek besar tentang penyusunan bahasa Melayu yang masih belum terlaksana. “Jika dilaksanakan dengan paduan tenaga sarjana negara ASEAN atau antarabangsa, kita dapat menyusun sebuah ensiklopedia terbesar bahasa Melayu,” tegas beliau. Tambah beliau, sekiranya berjaya dilaksanakan, hal tersebut mampu mengangkat nilai ketamadunan bahasa Melayu sampai bila-bila.
Dalam ucapan akhirnya, beliau berpandangan bahawa pihak berwajib tidak perlu lagi menubuhkan platform baharu berkaitan dengan bahasa Melayu kerana platform sedia ada sudah lebih daripada mencukupi. “Landasan sudah ada. Maka, kita tidak perlu tubuhkan sebuah badan baharu, kemudian kita biarkan layu dan mati begitu sahaja dan selepas itu kita menghidupkannya semula,”. Beliau berpandangan usaha yang berfokus perlu dilaksanakan supaya matlamat yang dihasratkan oleh seluruh pihak tercapai dengan jayanya.
Beliau turut menyentuh tentang keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. Sebagai kesimpulannya, beliau menyifatkan hal tersebut tidak mustahil untuk dilakukan, bahkan bahasa Melayu juga sebenarnya mampu menjadi bahasa utama ASEAN berdasarkan kedudukan dan sejarahnya sebelum ini. “Segala-galanya bermula dengan keazaman dan keupayaan yang tinggi,” tegas beliau apabila menyentuh soal itu, sekali gus mengakhiri sesi Ucap Utama Ketiga pada pagi ini.