Diterbitkan pada 22 Mei 2022, 21:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Woodball Terbuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis 2022 yang diadakan Dewan Sri Semarak Kampus Arau pada petang ini.

Sebanyak 186 orang peserta menyertai Kejohanan Woodball Terbuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis 2022 yang berlangsung di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Arau sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-79.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari, iaitu bermula dari 20 hingga 22 Mei 2022, telah disertai oleh pasukan dari Perlis (4), UiTM (2), Perlis Titan (2), Pahang (2), Johor (3), Pulau Pinang (2), MWA (1), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) (1), Kuala Lumpur (3) dan Terengganu (2) melibatkan 22 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita.

Secara keseluruhannya, sebanyak 108 orang telah mengambil bahagian dalam kategori Perseorangan Lelaki, manakala Perseorangan Wanita (45 orang), Perseorangan Remaja Lelaki (21 orang) dan Perseorangan Remaja Wanita (12 orang).

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd. Janor dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi.

Raja Muda Perlis ketika bertitah dalam Kejohanan Woodball Terbuka pada petang ini.

DYTM Raja Muda Perlis  yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis bertitah, “Pada tahun 2019, Persatuan Woodball Malaysia telah merancang dan bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan World Cup Woodball Championship 2020, yang sepatutnya diadakan di Perlis, dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis. Namun begitu, berikutan pandemik COVID-19 yang menyerang dunia, hajat tersebut tidak kesampaian.”

Walau bagaimanapun, Persatuan Woodball Malaysia terus berusaha meningkatkan pelibatan orang ramai dengan mengadakan pelbagai kejohanan pada peringkat domestik. Antaranya termasuklah, UiTM Perlis Open Woodball Championship 2022 dan Malaysian National Woodball League yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, yakni giliran tuan rumah yang seterusnya ialah Terengganu pada 2 Jun hingga 5 Jun 2022, dan akan diikuti oleh negeri Perlis yang dijangka dilakukan pada Oktober atau November.

DYTM Tuanku Raja Muda amat berharap agar semua  Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), terutamanya di negeri Perlis untuk terus memainkan peranan dalam memajukan sukan woodball ini.

“Usaha untuk mempopularkan sukan ini tidak mampu digapai sekiranya beberapa pihak sahaja yang menunjukkan kesungguhan,” tegas DYTM Raja Muda Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi