Diterbitkan pada 21 April 2022, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyeru rakyat supaya bersama-sama menggembleng tenaga untuk menangani isu keganasan terhadap wanita.

“Langkah-langkah yang proaktif dan pencegahan perlu diambil secara serius oleh setiap agensi bagi membantu dalam membanteras isu keganasan terhadap wanita dengan harapan lebih ramai dapat dilindungi dengan berpaksikan peraturan dan undang-undang sedia ada.”

“Perilaku seorang wanita yang lembut tutur katanya dan tingkah lakunya menjadi sebab untuk mereka dilindungi dan dipelihara dengan baik seperti ajaran Islam yang mengangkat darjat dan martabat seorang wanita.”

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan penutupan “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence – WISE, Siri ke-8” anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan YTF melalui Facebook UPNM dengan tajuk “Cabaran Wanita Dalam Keselamatan” pada petang semalam.

Baginda menzahirkan kebimbangan apabila statistik kes keganasan terhadap wanita ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Di Malaysia, tercatat 57 519 kes keganasan terhadap wanita telah direkodkan sejak tahun 2010. Sebagai contoh, statistik dari sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperlihatkan 6443 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sepanjang tahun 2021.”

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selaku Pengerusi YTF turut mendoakan agar para wanita di Malaysia ini terus dilindungi dan disantuni dengan sempurna dan sebaiknya.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Puan Muda tertarik dengan satu matlamat dalam Dasar Wanita Negara oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), iaitu memberi fokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif termasuklah penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita.

“Ini merupakan hasil usaha yang sangat jitu. Saya berharap agar dasar ini dilaksanakan dengan penambahbaikan secara berterusan seiring dengan isu dan cabaran yang dihadapi oleh kaum wanita masa ini.”

Perasmian pembukaan webinar ini disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menyampaikan ucaptama dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah yang memberikan kata-kata aluan pada awal sesi. Program ini diurusetia oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi