Diterbitkan pada 18 April 2022, 21:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau –  “Tabungan untuk masa depan merupakan kemestian kepada semua individu, khususnya sebagai persiapan bagi kelangsungan hidup seperti persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Didikan amalan menabung hendaklah diasuh awal dan dimulakan sedari kecil,” titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) petang tadi.

Tambah baginda, budaya menabung wajar dijadikan satu mata pelajaran dalam pendidikan negara agar melahirkan pewaris negara yang bijak dalam pengurusan kewangan, lantas menjadikan masyarakat yang minda kelas pertama.

Raja Muda Perlis mewakili pihak MAIPs dalam penyerahan sumbangan sejumlah RM21 000 kepada anak-anak dalam kalangan asnaf.

Demikianlah titah baginda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid yang diadakan di Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Dasuki memaklumkan bahawa PTPTN sentiasa mengalu-alukan masyarakat untuk melakukan tabungan selain turut menyediakan kemudahan transaksi secara dalam talian bagi memudahkan masyarakat.

Ahmad Dasuki berkata, pembukaan akaun Simpan SSPN dan penambahan deposit secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter dilaksanakan sebagai satu daripada usaha PTPTN untuk menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat

Turut serta ialah Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Negeri Pejabat PTPTN Negeri Perlis, Siti Jahara Mohd Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis penutupan itu dilaksanakan dengan penyerahan RM21 000 oleh Raja Muda Perlis bagi pihak MAIPs untuk diagihkan oleh amil masjid tersebut, Ku Mat Isa Ku Ismail kepada seramai 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariahnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi