Diterbitkan pada 16 April 2022, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Dalam menjayakan usaha “sifar kemalangan” di tempat kerja, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) dan Malaysian Press Institute (MPI) telah bekerjasama bagi mengembangkan agenda amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui pelaporan media.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya, pengamal media merupakan medium perantaraan yang sangat penting dalam menyebarkan sesuatu maklumat yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat umum, tanpa mengira pengkomersialan organisasi media semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya.

“Di sinilah peranan penting sebagai penyebar maklumat kepada khalayak. Tanpa mengira bekerja dengan surat khabar, portal berita, radio atau televisyen, kita mempunyai peranan untuk memberikan pencerahan kepada masyarakat mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” ujar beliau dalam ucapan perasmian pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022 di Hotel Dorsett Subang Jaya petang tadi.

Kerjasama MPI MSOSH sejak Ogos 2018 lalu dalam memberikan pengiktirafan kepada para pengamal media jelas menunjukkan komitmen dan inisiatif membudayakan serta memupuk kesedaran orang awam mengenai KKP.

Pada majlis tersebut, terdapat tiga kategori anugerah diperkenalkan, iaitu karya yang meliputi media cetak dan portal berita; media penyiaran televisyen dan video dalam talian; dan media penyiaran radio dan radio dalam talian.

Berdasarkan sambutan pelibatan dalam anugerah ini, sebanyak 48 penyertaan dilaporkan pada tahun 2019, manakala 59 penyertaan (tahun 2020) dan tahun 2021 mencatatkan peningkatan yang ketara, iaitu sebanyak 78 pengamal media telah mengambil bahagian.

“Saya percaya anugerah ini mampu membuka mata kelompok wartawan untuk memaparkan lebih banyak laporan mengenai KKP yang amat penting untuk diketahui dalam usaha membantu ke arah penambahbaikan hala tuju KKP di Malaysia.”

“Pengiktirafan yang diberikan oleh Anugerah Media MSOSH adalah menyeluruh dan mencerminkan ekosistem dan landskap semasa dunia media era digital.”

Mengulas lanjut, Datuk Dr. Chamil turut mengatakan bahawa setiap pekerja mempunyai bidang kerja dan pekerjaan yang melibatkan risiko kemalangan tertentu. Hal ini sangat penting untuk memahami langkah dan pencegahan daripada berlakunya kemalangan, serta kekal sihat keberadaan seseorang pekerja itu di tempat kerja.

“Memanglah selalu dikatakan malang tidak berbau, tetapi sebagai wartawan, kita berupaya menyedarkan warga pekerja dan majikan mengenai KKP di tempat kerja. Malang yang tidak berbau itu boleh kita hidu lebih awal dan langkah menghindarinya boleh diambil terlebih dahulu bagi mencapai sifar kemalangan.”

Pengerusi MSOSH, Dr. Shawaludin Husin.

Sementara itu, Pengerusi MSOSH, Dr. Shawaludin Husin mengatakan bahawa MSOSH bersedia menganjurkan Persidangan Asia-Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO) 2023 bagi mengeratkan lagi kesefahaman dan kerjasama antara Negara-negara Ahli APOSHO dengan Malaysia.

“Dengan langkah ini, kita dapat membuka lebih banyak ruang kepada pemain industri KKP serta ahli akademik untuk memberi input serta pandangan mengenai KKP di Malaysia,” kata beliau.

Selaras dengan Pelan Induk MSOSH 2022-2026, Dr. Shawaludin menyarankan agar pengamal media lebih produktif dalam melaporkan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara bertanggungjawab, di samping memantapkan penilaian audit KKP dalam sesebuah jabatan atau organisasi media yang lebih cemerlang.

Mengakhiri ucapan perasmian pelancaran Anugerah Media MSOSH 2022, Datuk Dr. Chamil menyeru para wartawan untuk menyahut cabaran ini untuk meneroka pemahaman KKP bukan sahaja dalam negara, malah cara penyampaian KKP di negara luar.

“Sektor KKP adalah sangat penting dan sangat inklusif.”

“Kita harap dengan penyertaan yang semakin baik dari tahun ke tahun, penyertaan kali ini akan lebih baik dari tahun lalu dengan kualiti pengisian yang lebih mantap dan berwibawa,” ujar Datuk Dr. Chamil dengan harapan agar anugerah ini menjadi satu anugerah yang berprestij dan memberikan manfaat kepada seluruh warga media dan masyarakat sejagat.


Bagi karyawan media yang ingin mengetengahkan karya mengenai KKP yang telah diterbit atau disiar, borang penyertaan dan syarat penyertaan boleh didapati di laman portal MPI. Penyertaan dibuka hingga 30 Jun 2022.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi