Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang Jaya – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) yang ditubuhkan sejak tahun 1971 sentiasa berusaha untuk mengambil langkah proaktif bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja dalam semua industri di Malaysia.
Menyedari perkembangan teknologi era digital pada hari ini, Dr. Shawaludin Husin, Pengerusi MSOSH, mengalu-alukan pelibatan pengamal media untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan menghasilkan karya pelaporan berkaitan dengan aspek KKP dengan tepat dan berkesan.
“Secara jelas, karya tersebut sebenarnya telah berjaya membantu memperkasakan pemahaman bidang KKP kepada masyarakat di dalam negara ini. Karya berkisar tentang KKP ini mesti terus disebarluaskan melalui media massa, media elektronik mahupun media sosial,” ujar beliau dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Anugerah Media MSOSH bagi tahun 2022, pada petang ini.
Anugerah Media MSOSH yang telah diperkenalkan sejak tahun 2019 ini bertujuan untuk meraikan karya kewartawanan yang berkaitan dengan aspek KKP dan dihasilkan oleh para pengamal media atau karyawan tempatan. Penganjuran anugerah ini merupakan sebuah kerjasama antara MSOSH dengan Malaysian Press Institute (MPI).

Selain itu, beliau turut menjelaskan perkembangan positif bidang KKP dalam negara yang akan membawa bidang tersebut ke peringkat antarabangsa dalam masa terdekat. Hal ini dikatakan demikian kerana rang undang-undang Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (pindaan) 2022 telah diluluskan di parlimen pada awal tahun ini.
Pindaan ini bertujuan bagi memantapkan perundangan KKP di Malaysia. Pada masa yang sama, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) telah dilancarkan bagi menggariskan hala tuju yang jelas kepada aktiviti pembangunan KKP di negara ini.
Dalam pada itu, pengerusi menyatakan kesiapsediaan MSOSH untuk sekali lagi menjadi penganjur bagi Persidangan Asia-Pacific Occupational Safety and Health Organization (APOSHO) pada tahun hadapan. Malaysia pernah menjadi penganjur persidangan ini sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1994 dan tahun 2003.
“Tugas menjadi tuan rumah bagi Persidangan APOSHO ke-37 ketika kita menghadapi ketidaktentuan krisis COVID-19 sudah pasti akan memberikan cabaran. Oleh itu, MSOSH beriltizam akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan penganjuran persidangan ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna,” tambah beliau.
Persidangan tahunan pertama APOSHO dianjurkan pada Ogos 1985 di Singapura. Pada peringkat awal, organisasi ini dikenali sebagai Majlis Keselamatan Negara Asia Pasifik atau Asia-Pacific National Safety Councils. Nama tersebut diubah kepada APOSHO pada persidangan tahunan kali kelapan pada tahun 1992. Hingga tahun 2020, APOSHO mencatatkan keanggotaan sebanyak 39 badan dari 21 buah negara; dengan dua atau lebih organisasi hadir dari Australia, China, Indonesia, Korea, Malaysia, Mauritius, Thailand dan Vietnam.
Dr. Shawaludin mengakhiri ucapan beliau dengan menggalakkan para pengamal media agar meneroka pelaporan isu KKP di rantau Asia Pasifik seiring dengan penganjuran Persidangan APOSHO pada tahun hadapan. Perkara ini boleh dilaksanakan dengan melihat amalan dan garis panduan KKP yang diimplementasikan di luar negara khususnya di negara maju seperti Singapura, Australia, China, Korea dan Jepun.
Beliau juga berharap agar pengamal media di negara ini dapat menyahut cabaran untuk mengetengahkan pelaporan berita atau penulisan rencana yang bersifat lebih komprehensif dan kritis dalam usaha menyokong perkembangan agenda KKP di Malaysia.