Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua rakyat di negeri Perlis untuk bersama-sama menyokong program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit yang bakal dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia pada 21 April 2022, pukul 11.00 hingga 11.10 pagi walau di mana-mana sahaja berada dan dalam apa-apa jua keadaan.
Baginda bertitah, “Mungkin dengan 10 minit bacaan ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada kita, rezeki dan sebagainya. Ayuh, kita buktikan rakyat negeri Perlis, rakyat yang membaca!”

Demikian titah baginda semasa berkenan menyempurnakan pelancaran kempen dan promosi program berkenaan, yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis secara santai di Tapak Bazar Ramadan Guring, Pauh, Arau pada petang semalam.
Keberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri merangkap YB DUN Pauh, Puan Roziena Ahmad dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Encik Azizi Janan.
Menurut Azizi, “Statistik Jom Baca Bersama untuk 10 Minit di negeri Perlis meningkat saban tahun bermula dengan hanya 8153 penyertaan pada tahun pertama penyertaan dan meningkat kepada 55 506 penyertaan pada tahun 2019.
“Namun begitu, berlaku penurunan pada tahun 2020, tetapi kembali meningkat kepada 33 367 penyertaan pada tahun 2021. Penurunan ini adalah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu dan program dijalankan secara maya. Diharapkan statistik ini akan kembali meningkat tahun ini dengan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak,” tambah beliau lagi.
Untuk rekod, Jom Baca Bersama untuk 10 Minit bermula sejak tahun 2014 merupakan program sokongan dari Perpustakaan Awam Negeri Perlis bagi meningkatkan tabiat atau budaya membaca dalam kalangan masyarakat.