Diterbitkan pada 30 Mac 2022, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Rumah Melaka yang dicat indah dengan warna bendera negeri Melaka di Kampung Seberang Alor mendapat sokongan penuh daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Kuala Perlis – Hasil daripada kunjungan ke Kampung Nelayan Warna-warni, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menyatakan kekaguman beliau terhadap perubahan dan kemajuan kawasan perkampungan itu melalui Projek DiRaja Program Transformasi Kampung.

Menurut TYT  Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali, transformasi pembangunan yang dilaksanakan ini amat baik dan berpotensi untuk menggamit pelancong dengan penambahan tarikan elemen kebersihan dan keindahan, selain mewujudkan lebih banyak tempat penginapan yang melibatkan kerjasama penduduk seperti inap desa dan motel pelancongan.

Raja Muda Perlis (kiri) menerangkan serba sedikit tentang konsep Kampung Nelayan Warna-warni kepada TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali (kanan).

Menyingkap usaha rakan sinergi yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan pelbagai agensi serta masyarakat setempat wajar diberikan kepujian. TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali turut menzahirkan rasa bangga dan berharap agar semua pihak sentiasa menghargai keindahan alam yang merupakan aset berharga di negeri Perlis.

Demikianlah antara perkongsian TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menghadiri program Kayuhan MAIPs Peduli (Khas) Kali ke-25 bagi tahun 2022 di sekitar Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang diadakan majlis penutupannya di Pengkalan Lama Pulau Ketam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung baginda berdua, Yang Amat Mulia Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Turut hadir, YABhg. Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman.

Semasa lawatan di Kampung Nelayan Warna Warni, baginda telah disambut oleh kepimpinan masyarakat setempat dengan penuh ramah dan meriah sekali, serta merasmikan “Rumah Melaka” yang dicat indah dengan warna bendera negeri Melaka di Kampung Seberang Alor yang diselaraskan pelaksanaannya oleh Rejimen 504 Askar Wataniah.

Dalam satu kenyataan media, Yang di-Pertua Negeri Melaka dikatakan demikian berada di negeri Perlis selama tiga hari, iaitu 27 hingga 30 Mac 2022 bagi menghadiri Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) sempena sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis ini disempurnakan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Tuanku Canselor di Istana Arau.

Beliau dan YABhg. Toh Puan turut menghadiri Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2020 USM yang diadakan di Mess Pegawai Kanan PDRM di Jalan Raja Muda, Kangar yang dirasmikan oleh DYMM Tuanku Raja dan juga Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Selain mengiringi  DYTM Tuanku Raja Muda dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda ketika di Perlis dalam program berbasikal amal tersebut, TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Tun Mohd Ali juga meluangkan masa untuk melawat Ladang Harumanis Aji Heritage Farm di Utan Aji, Superfruits Valley di Chuping, mendapat taklimat berkenaan dengan pembangunan IBC CVIA di Chuping, Padang Besar dan juga Taman Rimba Herba di Bukit Ayer.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi